in ,

GUA Lancar Drama Mingguan Lelaki Lakonan Fazren Rafi, Sari Yanti, Memey Suhaiza

Pada 20 April lalu, portal hiburan dan gaya hidup Malaysia, GUA, terus mengorak langkah dengan pelancaran Mingguan Lelaki, drama online bersiri terbaru mereka khas buat para pengikut setia GUA TV di Michaelangelo’s Ristorante dan Bar M, di Solaris Mont Kiara pada jam 3.30 petang.

Untuk info pembaca, Mingguan Lelaki memaparkan barisan bintang-bintang berbakat yang diterajui oleh para pelakon muda seperti Fazren Rafi, Sari Yanti, Memey Suhaiza dan Saiffz Salleh. 

Fazren Rafi memegang watak Ilham, seorang ulat buku yang lurus bendul dan secara tidak disangka menyandang jawatan penulis di sebuah majalah lelaki picisan. Dalam kesibukannya membuat kajian dan menulis tentang isu-isu lelaki, Ilham juga bekerja keras untuk menyiapkan prototaip robotnya dengan hasrat untuk memenangi sebuah pertandingan yang menawarkan RM100,000 sebagai hadiah utama. Sementara itu, sahabat karibnya, Misha yang turut menyimpan perasaan terhadap dirinya terus memberikan galakan untuk Ilham mengecapi cita-citanya. Namun Ilham hilang tumpuan kerana mula tertarik dengan Farah, seorang penyanyi yang seksi dan menggoda. Kepolosan Ilham kemudian mengundang lebih banyak malapetaka dalam kehidupannya.   

Pengikut setia siri drama popular TV3 Spa Q pasti mengenali Fazren Rafi yang semakin mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan.

Pengantin baru Sari Yanti yang mencipta nama lewat Kisah Kaisara di TV3 memainkan watak Misha, yang juga peranan sulungnya dalam sebuah drama bercorak online. Wajah Sari juga tidak asing lagi buat para penonton GUA TV kerana dia turut mengacara sebuah rancangan video bertajuk GUA@MHI. Berbekalkan wajah ayunya, watak Misha dianggap sangat sesuai utnuk dilakonkan oleh Sari.    

Pelakon yang semakin mencipta nama, Memey Suhaiza pula yang baru-baru ini mendapat perhatian gara-gara kisah peribadinya tidak memerlukan sebarang pengenalan. Sungguhpun begitu, Memey terus membuktikan yang dia serius dalam dunia lakonan. Mingguan Lelaki menyaksikan Memey dengan watak sulungnya di dalam sebuah drama.      

“Drama-drama online begitu sinonim dengan GUA sehinggakan ramai ahli kami telah bertanya tentang drama-drama ini sejak awal tahun lagi. Dengan pelancaran Mingguan Lelaki, kami harap semua orang akan menikmati drama pertama kami tahun ini yang membariskan gabungan pelakon-pelakon yang menarik. Selain itu, sekurang-kurangnya tiga lagi siri drama GUA akan diperkenalkan tahun ini,” jelas M. Zulkifli, Pengurus Besar, Kandungan, Jenama dan Pemasaran Alt Media Sdn. Bhd.    

Lebih menarik lagi, Mingguan Lelaki telah ditulis oleh Pengurus Besar Alt Media sendiri. M.Zulkifli, yang juga seorang penulis lirik berbakat, pernah menyandang jawatan sebagai Pengarang di beberapa majalah lelaki sebelum mengetuai salah sebuah cabang media baru di Media Prima Berhad. Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa jalan cerita Mingguan Lelaki bukan digarap berdasarkan pengalaman peribadi beliau semasa bertugas sebagai Pengarang.    

“Kami sangat teruja kerana drama pertama untuk tahun 2009 ini telah menerima sentuhan sakti Aziz. Oleh kerana ini percubaan pertama saya dalam menulis skrip untuk sebuah drama online, saya sangat berbangga kerana mempunyai seorang pengarah hebat seperti Aziz M. Osman untuk projek ini,” tambah Zulkifli.   

Ini merupakan usaha kedua Aziz M Osman dalam mengarah sebuah drama online. Aziz menyatakan bahawa ia satu cabaran juga untuk memuatkan setiap episod dalam masa sesingkat lima minit namun telah bersetuju untuk mengarah Mingguan Lelaki selepas cubaan pertamanya yang berjaya menerusi drama online, Luna Fantasiku.    

Pelakon veteran Khir Rahman serta pendatang baru Saiffz Salleh turut membintangi drama online terbaru GUA.    

Mingguan Lelaki akan menemui para peminat di gua.com.my pada 4 Mei, 2009. Semua episod  baru dapat ditonton di GUA pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Drama 20-episod ini masih mengekalkan format drama pendek GUA, di mana setiap episod diolah dengan penuh kreatif dalam hanya lima minit.  

Wakil-wakil media telah diberi kesempatan untuk menyaksikan gabungan usaha Aziz serta Zulkifli apakala episod pertama Mingguan Lelaki dipertontonkan kepada semua yang hadir.

Sebagai pelengkap acara, para tetamu telah disajikan dengan hidangan enak ala Itali atas ehsan Michaelangelo’s Ristorante & Bar M.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mahu Tiket Percuma Malam Final One In A Million?

Pertandingan Mencipta Lagu 1 Malaysia