Kegagalan konsert Wings Ta’kan Melayu Hilang Di Dunia di Istana Budaya pada Jun lalu sehingga memberi kesan kepada kutipan tiket adalah berpunca daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata, masalah tersebut tiada kaitan dengan kontroversi rumah tangganya dengan Rozana Misbun seperti yang dianggap sesetengah pihak.
“Kontroversi melanda diri saya adalah masalah peribadi jadi tidak timbul isu orang ramai benci saya atau membenci anggota Wings yang lain.
“Kita jangan cakap mengenai konsert sahaja yang kurang mendapat sambutan tetapi pada hakikatnya bazar ramadan pada tahun ini pun tidak ada orang kerana mereka ingin melihat apa yang akan berlaku dalam masa enam bulan pertama selepas GST dilaksanakan,” katanya kepada mStar Online.
Awie ditemui pada majlis berbuka puasa sempena sambutan 30 tahun kumpulan Wings, di 9 Kedondong, Ampang Hilir, di sini pada Rabu.
Tambah Awie, pelaksanaan GST amat memberi kesan bukan kepada barangan kepeluaran harian tetapi ia juga memberi impak yang besar kepada industri hiburan.
“Semua orang takut nak keluarkan duit mereka untuk berbelanja kerana semua perkara yang dilakukan akan dikenakan cukai jadi ia amat memberi kesan juga kepada industri hiburan.
“Sebenarnya pihak kami juga amat terkesan dengan GST yang dilaksanakan kerana cas tiket dikenakan kepada penonton amat tinggi jadi ia menyebabkan mereka rugi,” katanya.
Dalam pada itu bercerita mengenai konsert 30 tahun kumpulan Wings pada 31 Oktober depan di Stadium Merdeka, Awie berkata mereka akan cuba untuk mencari penaja supaya dapat mengurangkan harga tiket yang dikenakan kepada penonton.
Tambahnya, dengan cara itu ia dapat meringankan beban yang dihadapi oleh peminat dan dalam masa yang sama mereka akan berhibur bersama kumpulan Wings.
Dalam perkembangan lain, Awie berkata dia akan muncul dalam sebuah telefilem Aku Benci Raya yang akan disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran Astro.
Kredit: Mstar Online