Naik jelak SS mendengar cerita seorang artis yang layak di label ‘playboy indie’. Bukan sekali dua SS mendengar mengenai kisah vokalis yang boleh tahan kacak dan popular ini. Sudah acap kali benar pemuda ini dikaitkan dengan kisah cinta dengan teman wanitanya.
Tidak cukup dengan seorang wanita, selepas satu demi satu wanita dikaitkan dengan dirinya. Malah, menjadi mangsa artis ini. Kalau hendak dibukukan cerita artis ini, boleh jadi dapat mengalahkan karya Uda dan Dara yang rancak dipentaskan di Istana Budaya sejak 10 Julai lalu. Bukan setakat muak dengan kisah cintanya malah ‘playboy indie’ ini juga tidak serik-serik dengan kontroversi.
SS difahamkan, artis ini cukup pandai bermain kata-kata. Pendek kata di kalangan kumpulannya sendiri dia di gelar antara individu yang paling mahir mengurat wanita. Bukan saja pandai memilih mangsa yang cantik, malah pasangan yang mahu mendampinginya perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dalam kewangan atau kaya-raya.
SS tertarik dengan cerita yang disampaikan seorang teman mengenai playboy indie ini. Khabarnya, dia pernah berkawan rapat dengan artis wanita yang boleh tahan popularnya. Namun, disebabkan latar belakang gadis berkenaan tidak menepati syarat yang dimahukan, akhirnya hubungan berkenaan tergantung di tengah jalan.
Begitupun, apabila artis itu bercerita kepada salah satu media cetak mengenai keakraban mereka suatu masa dulu, playboy indie ini sentap apabila membaca artikel itu, lalu memarahi bekas kekasihnya itu kerana memaklumkan mengenai sejarah hubungan mereka kepada media. Perkara itu sampai kepada pengetahuan ibu artis wanita itu. Ibu artis wanita itu agak terkilan dengan tindakan penyanyi itu. Ibu artis itu juga tidak menafikan hubungan anaknya dengan penyanyi itu yang sering berkunjung ke rumah suatu masa dulu.
Yang peliknya, bukan seorang dua dikaitkan dengan artis ini, malah beberapa artis wanita yang cantik dan popular turut dikaitkan dengannya. Teringat pula SS mengenai skandal penyanyi Peterpan, Ariel yang kini hangat diperkatakan. Bukan hanya Luna Maya dan Cut Tari, malah membabitkan puluhan artis popular dan jelita Indonesia. Itu belum lagi orang biasa yang menjadi mangsanya.
Tahap populariti Ariel di negaranya memang hebat sampai peminat histeria, tapi kalau di sini, SS tidak rasa orang kita kurang siuman dengan menggilai penyanyi sampai sebegitu sekali. Kalau diikutkan, playboy indie ini bukannya mempunyai kewangan kukuh pun, harap pada dua persembahan saja sudah berangan macam ‘superstar’.
SS harap penyanyi ini tidak mengulangi tabiatnya yang suka mempermainkan perasaan wanita. Ingatlah pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Masa itu penyesalah sudah tidak berguna lagi. Ingatlah juga, ketika ini perbuatan tidak baik yang kita lakukan pada orang orang dibalas cash sekarang, tidak hanya tanggung siksa dosa di akhirat.[sumber]