SOSEH SOSEH: Rumah bersepah macam stor
KATA orang, kalau hendak mengenal keperibadian seseorang itu pembersih ataupun tidak, jenguk-jenguklah kediamannya. Andai semuanya tersusun rapi dan bersih, makanya memang seseorang itu jenis rajin mengemas dan menjaga rumah. Jika sebaliknya, faham-faham sendirilah orangnya macam mana.
Apa yang cuba diperkatakan SS ini ada kaitan dengan kisah seorang selebriti yang agak popular ini. Di kalangan teman-teman, dia ini memang dikenali sebagai seorang yang suka berniaga. Macam-macam yang diniagakan termasuk biskut aneka rasa. Nak dijadikan cerita, teman kepada rakan SS ini memang selalu berurusan dengannya.
Namun, apa yang membuatkan teman tadi kurang berkenan sikit dengan sikap selebriti itu, setiap kali ke kediamannya, rumah tidak pernah bersih. Sepuluh kali pergi, begitulah juga keadaannya yang berhabuk, lantai melekit dan bersepah-sepah. Kata teman kepada rakan SS itu lagi, orang lain pun berniaga juga tetapi tidaklah pula rumah mereka bersepah macam itu.
Katanya lagi, selebriti ini patut fikir yang dia itu artis. Jikalau membiarkan kediaman dalam keadaan tidak terurus, ini akan memberi tanggapan negatif kepada mereka yang berurusan dengannya. Rungut teman kepada rakan SS itu lagi, artis sepatutnya bukan hanya menjaga penampilan luaran saja tetapi segenap sudut termasuk rumah kerana kehidupan mereka sering menjadi perhatian orang. [sumber]