Sudah Pandai Berlagak Diva!
Sejak akhir-akhir ini banyak pula cerita yang tidak elok tentang penyanyi lelaki ini yang sampai ke telinga Cik Andalusia. Tidak lama dahulu, Cik Andalusia ada cerita yang dia pernah berkelakuan kurang ajar dengan pihak media, dan baru-baru ini dia buat perangai dengan pihak produksi pula.
Penyanyi yang baru putus cinta ini (walaupun dia nafikan), cuba berlagak diva apabila tidak mahu mengambil gitarnya sendiri. Kononnya, itu bukan tugasnya memandangkan sudah ada seseorang yang ditugaskan untuk melakukan kerja itu.
Masalahnya, kejadian itu berlaku ketika konsert berlangsung. Bayangkan, penyanyi lelaki ini sanggup berdiri tercegat walaupun dia sepatutnya sudah mula menyanyi.
Alasan yang diberikan, gitar tiada di tangan dan dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Menurut krew yang bertugas, penyanyi lelaki ini boleh sahaja mencapai gitarnya sendiri kerana ia berada di depan matanya, tetapi dia bertegas mahu orang lain ambilkan. Kononnya, bukan kerja dia hendak mengambil gitar itu. Pendek kata, dia hendak dilayan macam ‘superstar’-lah. Oleh kerana tidak mahu perjalanan konsert terganggu, salah seorang krew cepat-cepat mengambil gitar tersebut dan hulurkan kepada penyanyi itu.
Eh! Cik Andalusia tidak fahamlah dengan penyanyi ini. Mengapa perangainya banyak berubah? Kalau dahulu dia pandai merendah diri dan menghormati orang lain. Adakah populariti yang dikecapi menyebabkan dia mula berlagak?
Persoalan ini hanya si empunya badan sahaja yang boleh memberikan jawapan.