Soseh Soseh: Tuduh wartawan enggan bantu
HENDAK kata tak pandai berbahasa, SS rasa pengurus artis yang seorang ini sangat bijak berkata-kata. Apatah lagi, untuk mendapatkan publisiti untuk artisnya yang boleh SS labelkan ‘suam-suam kuku’. Bagi SS, dia memang orang yang lembut lidah.
Bukan apa, dia akan berbuat baik umpama ‘pijak semut pun tak mati’ dengan media termasuk merayu untuk memujuk membantu publisiti artis diuruskannya. Begitulah yang berlaku pada seorang rakan SS yang baik hati ini.
Dek termakan pujuk rayu pengurus artis ini, rakan SS tak sampai hati menolak pelawaannya untuk mempromosikan artisnya dalam satu program di luar ibu kota. Sekalipun, mengetengahkan pendatang baru yang belum ada album, namun rakan SS masih sudi turun padang.
Kalau hendak diikutkan dengan jawatan rakan itu sekarang, bagi SS tidak payah dia bersusah-payah menyertai program disertai artis di bawah kendalian pengurus itu. Lagi pun, di ibu kota ini saja, banyak majlis dianjurkan sepanjang minggu. Pilih saja hendak pergi yang mana satu.
Tidak perlulah bersusah payah pergi sampai ke hujung negeri. Tetapi disebabkan hubungan persahabatan, semua kepayahan ditolak tepi. Bagaimanapun, malang tidak berbau. Dalam program itu, rakan SS mengalami kemalangan kecil. Justeru, balik ke ibu kota rakan itu mahu membuat tuntutan Socso. Tetapi, agak sukar kerana surat jemputan dihantar pengurus itu kepadanya sudah hilang. Malah, dia meminta pengurus itu menghantarkan e-mel mengenai program itu kepadanya semula.
Ia penting sebagai ‘bukti’ penyertaannya dalam program itu kerana bertugas. Sayangnya, kiriman e-mel dihantar kepada pengurus itu tidak berbalas. Oleh itu, rakan SS menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menghubungi pengurus itu. Sekali lagi rakan SS ditimpa malang apabila suami pengurus artis itu menghantar kiriman SMS kurang sopan kepadanya. Dia sudah menggunakan insiden yang berlaku itu untuk mengenakan balik rakan SS.
Dalam SMS dikirim si suami meluahkan perasaan marahnya pada wartawan dan mengatakan apabila dah susah, tahu pula hendak minta tolong pada mereka. Kalau tidak, minta bantuan promosi untuk artisnya pun mengelak dan enggan membantu.
Kata rakan SS, setakat ini dia tidak pernah menolak membantu pengurus artis yang juga isteri kepada lelaki itu. Jadi, bagaimana pula suaminya boleh berkata demikian kepada wartawan? Bagaimanapun, akhirnya pengurus artis itu mengirimkan e-mel mengenai program itu. Entah kenapa suaminya pula yang ‘naik hantu’ tak tentu pasal. [sumber]