Pengacara duduk tak senonoh
SUDAHLAH duduk terkangkang, lepas itu kaki kanannya digoyang-goyangkan pulak. SS tengok, rupanya dah macam perempuan murahan.
Cubalah duduk elok sikit dengan penuh sopan santun sebab program yang awak kendalikan itu disiarkan di kaca TV dan kalau tak berjuta pun, mesti ratusan ribu orang akan tengok.
Program itu memang berbentuk santai tetapi janganlah sampai duduk pun macam kat pantai, terkangkang dan terkinja-kinja macam kera kena belacan. Banyak cara lagi ada kalau mahu buat program nampak menarik terutama cara pertuturan dan gaya penyampaian. Paling penting, bahan cerita, kenalah bernas.
Memang menyampah SS tengok gelagat pengacara itu. Kalau yang buat macam begitu budak remaja, SS masih boleh kasi diskaun tapi pengacara itu dah bergelar isteri orang pun. Lain kali stesen TV pantau-pantaulah sikit benda macam gini.
Jangan biarkan pengacara itu buat sesuatu ikut suka dia saja. Kebetulan hari itu SS tertengok program berkenaan kerana bercuti hujung minggu. Namun, selepas ini, tak kuasalah SS nak tengok lagi.
Mujurlah program itu ke udara tidak lama, lebih kurang lima minit. Kalau ia disiarkan setengah jam atau lebih panjang lagi, SS rela duduk di ceruk dapur daripada terus menatap gelagatnya yang entah apa-apa itu. Ramadan pun nak dekat, lebih baik SS belajar resipi baru untuk juadah berbuka daripada menatap gelagat dia.