TERLEBIH dulu, SS hendak ucapkan selamat berbahagia kepada pelakon jelita, Fasha Sandha yang akhirnya membuat pengakuan hatinya sudah dimiliki Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai. Maklumlah, pada SS Fasha terlalu lama bermain teka-teki.
Apapun, selain kisah gembira Fasha itu, SS turut mendengar kisah sensasi mengenai seorang lagi artis wanita jelita. Siapa artis ini sama ada pelakon atau penyanyi biarlah menjadi rahsia. Yang pasti, dengarnya artis ini mendapat kereta dan rumah daripada si dia.
Wah, hebat sungguh artis wanita sekarang. Menjalin hubungan dengan orang berada saja dan ketika dalam percintaan lagi, si kekasih sudah menghadiahkan kereta dan rumah kediaman. Itulah tuahnya orang yang berwajah cantik dan popular.
SS rasa kalau sudah bergelar isteri nanti, mestilah hadiah yang lebih mewah akan diterima. Kata pepatah, ‘tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu’. Apapun, SS tak tahulah bila pula artis wanita itu akan membuat pengumuman.
Manalah tahu, si artis wanita ini akan ambil peluang macam Fasha membuat pengakuan depan media. Jadi, sudah pasti tiada mana-mana wartawan yang tersinggung atau berkecil hati. Bagaimanapun, tepuk dada dan tanyalah selera.
Namun, SS doakan semua artis negara ini yang kini bercinta akan mengakhiri hubungan itu ke gerbang perkahwinan. Bukan apa, bercinta lama-lama pun tak elok. Tetapi SS tak rasa yang mereka akan berkahwin kerana lelaki yang dipuja itu masih kekasih orang. Jadi macam mana ye? Kita tunggu sajalah apa kesudahan kisah cinta misteri artis itu.