Budiey dengar, pelakon jelita Neelofa ni kini dikhabarkan tidak berada di Malaysia. Perkara ini diberitahu sendiri oleh Neelofa apabila heroin drama Kau Yang Terindah itu menulis di Twitter mengatakan yang dia dalam perjalanan ke lapangan terbang.
Jika betul tentang gossip ini, bermakna Neelofa sekali lagi tak hadir di Majlis Prebiu Filem Hantu Kapcai yang akan berlangsung pada malam ini. Budiey kira, Neelofa memegang watak yang tak kurang penting juga dalam filem ini arahan Ghaz Abu Bakar ni. Mungkin selepas ini, peminat akan dapat melihat gambar Neelofa di Koh Samui.
Khabar angin dari sebuah blog mengatakan Neelofa terbang ke Koh Samui, Thailand untuk bercuti bersama Hans Isaac dan berita tersebut diperolehi daripada akaun Twitter dengan nama Kepak Merah.
Dakwaan tersebut kemungkinan besar betul, kerana Hans Isaac juga dikatakan ada mengesahkan yang beliau juga berada di pulau tersebut.
Menguatkan lagi spekulasi, tulisan terakhir Neelofa semalam adalah sekitar 1.46 petang yang secara kebetulan selari dengan masa penerbangan dari lapangan terbang ke lokasi percutian popular itu. Kebetulan, mungkin.
Updated: Semasa hadir di Prebiu Media Filem Hantu Kapcai yang berlangsung semalam, Budiey sempat menemubual pelakon Neelofa tentang kesahihan gossip ini. Neelofa telah menafikan gossip bersama Hans Isaac di Koh Samui.
Menurut Neelofa, beliau ke Phuket untuk bercuti bersama kawan-kawannya. Manakala, Hans Isaac pula ke sana bersama sepupunya.
Ikuti video temubual eksklusif bersama Neelofa ini:
Pelakon Neelofa menganggap dakwaan kononnya dia pergi bercuti bersama aktor dan penerbit Hans Isaac secara rahsia di Koh Samui, Thailand pada hujung minggu lalu sebagai tindakan sabotaj yang bertujuan memburukkan reputasinya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, tuduhan berdasarkan maklumat tidak benar yang diperoleh itu adalah tidak wajar dipercayai kerana mereka bercuti secara berasingan.
“Ini (dakwaan) sebagai tindakan sabotaj pihak tertentu untuk memburukkan reputasi saya. Hakikatnya, saya dan Hans bercuti secara berasingan di dua lokasi berbeza.
“Saya pergi ke Phuket, Thailand bersama rakan-rakan pada Ahad dan Isnin, manakala Hans ke Koh Samui bersama kenalan permainan golfnya. Walhal Nazim (Othman) yang turut berada di Phuket pada minggu lalu tidak pula dikaitkan dengan saya?
“Saya percaya kontroversi ini timbul kerana secara kebetulan saya dan Hans berada di lokasi percutian yang berhampiran sahaja,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Kapcai di sini, malam Selasa.
Neelofa berkata, dia berasa terkilan dengan perkara itu kerana niatnya untuk berehat daripada tekanan kerja pada hujung minggu lalu, sebaliknya menimbulkan kontroversi pada mata umum.
“Penyebaran gambar dan maklumat di blog-blog dan Internet adalah perbuatan khianat yang tidak adil untuk diri saya. Saya terima kontroversi ini dengan tenang dan matang.
“Bagi saya, ia adalah resam dalam dunia hiburan namun timbul juga perasaan terkilan kerana hasrat untuk berehat daripada tekanan kerja mengundang isu pula,” jelasnya yang percaya Hans tidak mengambil pusing mengenai kontroversi remeh itu.
Neelofa berkata, dia juga berasa kesal dengan tindakannya mengemas kini mesej di akaun Twitter pada tengah hari Ahad lalu mengenai percutiannya yang menimbulkan salah faham dan isu.
“Timbul juga kekesalan kerana niat saya mengemas kini mesej pada akaun Twitter pada Ahad lalu adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat mengenai percutian singkat itu.
“Saya tidak sangka mesej itu menimbulkan salah faham dan spekulasi yang akhirnya memaksa saya membuat penjelasan umum,” luahnya.
Mengenai kerjaya, juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini bakal muncul dengan filem terbaru Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar di samping Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Hairul Azreen.
“Dalam filem itu, saya menggalas watak gadis kampung yang bertudung bernama Khadijah. Ia bukanlah watak yang sukar untuk dibawakan tetapi pengalaman berlakon dalam filem ini menarik.
“Insya-Allah, selepas ini saya akan sibuk dengan komitmen rakaman program Nona, aktiviti bersama Tune Records di Singapura dan pada pertengahan Oktober saya mungkin akan memulakan penggambaran filem Pilot Cafe,” kongsinya. Sumber: Mstar Online
Berita ini juga disiarkan di Berita Harian pada 27 September 2012:
Neelofa tak tolak andaian gambar disabotaj pihak tertentu
Niatnya untuk bercuti ke luar negara hanyalah bagi meredakan ketegangan serta melepaskan lelah selepas bekerja selama beberapa bulan tanpa henti. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Gara-gara gambar lokasi percutian yang disiarkan di laman Twitter miliknya, pelakon dan pengacara, Neelofa, diheret ke kancah kontroversi apabila didakwa percutiannya itu turut ditemani aktor, Hans Isaac, di Koh Samui, Thailand.
“Memang benar saya pergi bercuti baru-baru ini, tapi saya tidak pergi ke Koh Samui ataupun bersama Hans, seperti yang digembar-gemburkan di internet. Sebaliknya saya bercuti di Phuket bersama seorang kawan. Saya pergi ke sana Ahad lalu, manakala Hans ke Koh Samui lebih awal iaitu pada Khamis lalu bersama teman yang sering bermain golf dengannya” – Neelofa, Pelakon/ Pengacara
Gosip terbabit timbul apabila Hans pada masa sama turut menyiarkan gambar lokasi percutiannya di Twitter dan lokasi gambar itu didakwa punya persamaan dengan gambar dipaparkan Neelofa dalam laman sosialnya. Bermula saat itu, timbul pelbagai spekulasi, antaranya apakah pasangan teman tapi mesra ini sedang asyik memadu cinta di pulau peranginan terkenal terbabit?
Bagaimanapun, ketika ditanyakan perkara itu kepada si empunya diri, Neelofa berkali-kali menegaskan dia tidak bercuti dengan Hans seperti disangka banyak pihak.
“Memang benar saya pergi bercuti baru-baru ini, tapi saya tidak pergi ke Koh Samui ataupun bersama Hans, seperti yang digembar-gemburkan di internet. Sebaliknya saya bercuti di Phuket bersama seorang kawan. Saya pergi ke sana Ahad lalu, manakala Hans ke Koh Samui lebih awal iaitu pada Khamis lalu bersama teman yang sering bermain golf dengannya.
“Saya langsung tidak bertemu Hans sepanjang percutian itu,” tegas pelakon berusia 23 tahun ini, ketika ditemui, kelmarin.
Mengulas lanjut perkara itu, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor ini berkata, dia tidak menolak andaian gambar percutiannya itu disabotaj sesetengah pihak.
“Adalah juga rasa sedikit menyesal kerana menyiarkan gambar panorama percutian saya itu, tetapi saya anggap ia sebahagian daripada rencah kehidupan seorang artis, yang tidak pernah sunyi dilanda gosip. Ingatkan, bila pergi bercuti saya dapat ketenangan, rupa-rupanya makin serabut apabila terpaksa berdepan dengan gosip seperti ini,” katanya sambil tertawa kecil.
Kontroversi babak pegang tangan
Ditanya apakah dia ada berkomunikasi dengan aktor serta pengarah tinggi lampai itu, Neelofa hanya menggelengkan kepala.
“Kalau ditanya pada dia pun, pastinya jawapan yang diterima adalah sama,” ujarnya ringkas.
Ternyata satu demi satu kontroversi melanda wanita ini. Sebelum ini, babak dirinya dan Nazim Othman berpegangan tangan sambil mengadap Kaabah seperti yang tersiar dalam episod terakhir drama rantaian, Kau Yang Terindah, minggu lalu mendapat kritikan banyak pihak kerana ia membabitkan soal muhrim.
Merungkai kemusykilan itu, Neelofa yang baru saja dilantik menjadi duta jenama tilam King Koil berkata, babak itu bukanlah dirakamkan di Makkah seperti didakwa.
“Penggambaran babak itu, terutama babak berpegang tangan itu kami buat di di Hotel Flamingo, Ampang. Untuk babak di Makkah, kami hanya rakamkan untuk full shot saja sebab hari sudah semakin cerah. Jadi semuanya kena disiapkan dalam keadaan yang tergesa-gesa,” ujarnya yang bakal kembali ke lokasi penggambaran tidak lama lagi, di bawah arahan sutradara terkenal, Osman Ali.