Dengarnya…: Meluat kerenah personaliti perasan
Dipetik dari Berita Harian
MELIHAT personaliti dirinya yang ramah tamah dan mesra pasti ramai yang tak percaya, apa yang dipamerkan itu hanya ‘plastik’ semata-mata. Luar nampak baik, bersopan dan sentiasa, tetapi di sebaliknya rasa nak pecah kepala mereka yang terpaksa melayani kerenahnya yang pelbagai. Kalau yang diminta itu logik, tidak mengapa. Tetapi kalau setakat benda remeh, mahu tak berasap kepala mereka yang terpaksa menatap wajahnya setiap hari.
Kelakarnya jika permintaannya tidak ditunaikan, mula dia cari jalan mengadu sana sini. Hal remeh pun mahu disampaikan kepada pihak atasan. Mula dulu mereka mendengar juga suara hati personaliti wanita yang semakin perasan ni.
Lama-kelamaan siapa boleh tahan. Mahu tak naik suhu badan jika semua hal dia mahu diutamakan. Kalau setakat mengacara program sokongan, takkan nak diberi publisiti berlebihan pula. Apa kata pengacara utama?
Itu bab kerja, bab peribadi lagi buat Cik Normah nak ketawa terbahak-bahak. Sejak kembali solo ni, hidup personaliti itu bagaikan di awangan. Perasan tak sudah seolah-olah dia satu-satunya wanita idaman yang menjadi kegilaan semua lelaki. Boleh dia bercerita kepada teman Cik Normah, sejak hidup menjanda ada saja lelaki yang mengekori langkahnya.
Â
Pendek kata, hidupnya sudah tidak tenteram gara-gara status baru yang digalasnya. Ke mana saja langkahnya, pasti ada lelaki yang cuba mencuri hatinya. Iyakah begitu? Cik Normah tak nafikan dia memang cantik, tapi sayang kalau begitu jadinya. Takkan kerana dahagakan publisiti, cerita begini pun mahu dikongsi?
Agak Cik Normah mungkin kepala dia serabut memikirkan banyak perkara. Maklum dulu semuanya dilakukan berdua tapi sekarang terpaksa bergerak sendirian. Itu yang buat dia tertekan lalu terkeluar cerita bukan-bukan.
Pesan Cik Normah kepada personaliti ini, hati-hati sikit. Iyalah orang popular dan muka pun cantik, takut nanti dia terfikir pula orang berniat tidak baik kepadanya. Susah pula nanti kalau terpaksa menggaji pengawal peribadi. Agaknya stesen televisyen tempat dia bernaung sedia tak membayar gaji pengawal peribadinya itu?