SOSEH SOSEH: Kekasih belasah pelakon wanita  Â
Dipetik dari Harian Metro
KISAH artis berdepan masalah rumah tangga bukan lagi perkara yang perlu disorok daripada pengetahuan peminat. Biarpun ada artis yang tidak senang dengan keadaan ini, hakikatnya cerita mereka mempunyai nilai untuk dijadikan bahan berita di akhbar bagi tatapan peminat.
SS bukan mahu mengaibkan artis apabila cerita mereka turut dijadikan bahan usikan dalam ruangan ini. Sebaliknya, SS mahu berkongsi dengan pembaca mengenai realiti kehidupan artis yang kebanyakannya tidak diketahui peminat. Teguran SS mahu artis dan orang ramai ambil iktibar dari pengalaman orang lain.
Dalam sibuk bercerita mengenai artis di mahkamah syariah, SS tertarik berkongsi cerita dengan kisah seorang pelakon remaja wanita yang pernah melalui pengalaman pahit bercinta. Mengikut cerita yang disampaikan pelakon itu, dia sebelum ini jatuh cinta dengan salah seorang anggota band indie.
Bukan SS mahu aibkan artis ini tapi ingin berkongsi apa yang dilaluinya untuk dijadikan pengajaran. Seperti pasangan bercinta lain, di awal perhubungan mereka segala yang berlaku begitu indah dan manis. Sangka pelakon itu, kebahagiaan yang dikecapi akan berterusan.
Namun, sesuai dengan pepatah ‘harap panas sampai petang, rupanya hujan di tengah hari’, kehidupan pelakon itu pula dirundung malang. Selepas beberapa bulan menjalin hubungan cinta, baru pelakon itu tahu sikap sebenar kekasihnya yang gemar guna kekasaran.
Maksudnya, bila kekasihnya itu tidak puas hati dengan sikap pelakon itu, dia lebih suka ‘berbicara’ dengan tangan. Lalu, sudah beberapa kali pelakon ini menjadi mangsa belasahan kekasihnya itu. Nasib baik pelakon itu cepat sedar dan akhirnya ambil keputusan angkat kaki.
SS harap pasangan artis lain yang asyik bercinta dapat jadikan cerita ini satu iktibar. Belum ada apa-apa ikatan sudah berani melayangkan tangan ke muka atau ke badan pasangan, esok lusa kalau sudah berkahwin tidak tahu, mungkin kena pijak.  Â