Baru-baru ini ketika majlis tayangan media filem ‘PE3’, pengarah filem tersebut, Farid Kamil telah membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh pernikahannya dengan pelakon, Diana Danielle. Selepas selesai majlis tersebut, penerbit David Teo sempat mengusik salah seorang pelakon ‘PE3’, Kamal Adli mengenai bilakah pelakon itu mahu mengikut jejak Farid untuk menamatkan zaman bujangnya dengan kekasihnya, Intan Ladyana.
Menjawab usikan penerbit Metrowealth itu, Kamal memberitahu, “Semua orang selalu bertanyakan hal yang sama dan saya pun dah tak larat nak jawab mengenai perkara ini. Saya harap orang sekeliling faham dengan situasi saya sekarang. Saya baru saja sebelah tapak nak kuat dan saya masih ada matlamat untuk disasarkan dalam bidang seni ini.
“Bukan saya takut dengan komitmen namun saya mahu fokus dengan kerjaya seni saya dulu. Alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi kepada saya tak putus-putus lagi. Ini bukan untuk diri saya saja, malah bagi meringankan beban keluarga serta untuk masa depan kami berdua juga. Saya mahu lepas kahwin nanti tidak timbul sebarang masalah dalam hubungan kami.”
Sebelum ini, pelakon drama ‘Bionik’ ini juga pernah dituduh curang terhadap Intan apabila dikaitkan dengan pelakon Indonesia, Olivia Jensen. Mengulas mengenai dakwaan kononnya dia hanya mahu mempermainkan perasaan Intan dengan menangguhkan hubungan mereka terlalu lama, Kamal memberitahu,
“Saya tak main-mainkan dia jauh sekali berlaku curang terhadap Intan. Saya berpegang kepada kata-kata saya cuma tunggu sikit masa saja lagi.
“Kami memang ada berbincang mengenai isu ini dan Intan sendiri faham dengan situasi saya. InsyaAllah, saya sasar dalam setahun dua lagi. Saya juga ingin berterima kasih kepada Intan kerana dia sangat memahami kedudukan saya. Jika jadi nanti, InsyaAllah saya tidak akan sorok perkara baik ini.”