Dengarnya: Camelia sudah kahwin?
APA agaknya cerita penyanyi cantik berasal dari Sarawak bernama Camelia. Lama juga Cik Normah tak mendengar cerita artis yang cukup bergaya orangnya itu. Tup tup baru-baru ini sibuk kawan-kawan dalam industri bercerita kononnya penyanyi lagu Rindu Padanya itu sudah berkahwin.
Cik Normah sendiri tak pasti sama ada kisah ini betul atau tidak, tetapi rakan Cik Normah yang montel dan comel memberitahu dia sebenarnya dah lama tahu cerita mengenai perkahwinan Camelia cuma dia malas nak buka cerita kerana bimbang kisah itu tak sahih.
Mengikut cerita lagi, selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua, si Camelia kononnya dah tak mahu aktif lagi dalam bidang seni. Kalau tak silap juga, pengurusnya Maggie sudah tidak lagi bekerja dengan Camelia. Kalau begitu caranya, bermakna Camelia memang bertekad nak lupakan dunia hiburan terus.
Mungkin suaminya tak suka dia terus bergelumang dalam dunia seni dan mahu Camelia menumpukan perhatian kepada rumah tangga yang dibina. Kalau betullah cerita ini, Cik Normah nak siasat jugalah siapa jejaka bertuah itu.
Mesti seseorang yang berpangkat dan ada duit, maklumlah Camelia sendiri anak orang berada. Bergaya pun bukan main lagi dan sering kali diundang menjayakan minggu fesyen di luar negara. Takkan nak cari orang yang sengkek, betul tak? Paling-paling kereta Mercedes sebiji dua menjalar di halaman rumah.
Baguslah Camelia, akhirnya hidup Camelia tidak kekosongan lagi. Cik Normah hanya nak mengucapkan selamat pengantin baru dan semoga perkahwinan kedua ini berkekalan hingga ke akhir hayat serta dikurniakan bayi-bayi yang comel. Amin.
Tapi kalau tak betul, Cik Normah minta maaflah. Mungkin ada pelanduk dua serupa atau ada orang yang namanya serupa. Harap Camelia dapat menghubungi kawan-kawan Cik Normah di meja Hip atau B*Pop untuk menjelaskan keadaan. [Berita Harian]