NAK kata jahil, apabila bercakap pandai pula sebut syukur, tahu bezakan antara baik dan buruk, selalu berdoa, mengharapkan keredaan Ilahi… tetapi pada masa sama apa yang dilakukan, tak tahulah Gayah nak kata bagaimana.
Sekarang ada pula yang sumber rezekinya daripada hasil maksiat. Buka perniagaan yang turut disertakan dengan penjualan ‘air kencing syaitan’ kepada pelanggan. Apa nak jadilah…
Gaya hidup segelintir artis kita sekarang ini semakin ‘advanced’. Nak kata tak tahu hukum, Gayah rasa takkanlah tak tahu sumber rezeki daripada hasil penjualan arak itu haram.
Nak kata terpaksa sebab nak tarik pelanggan, alasan ini memang tak boleh diterima. Kalau alasan seperti yang digunakan, memanglah kau dah hilang pedoman.
Banyak lagi perniagaan yang boleh dibuat, perniagaan hidang arak kepada pelanggan juga yang kau buat. Tolak tepi hukum, sebab ia memang haram, tetapi kau tak fikir ke mengenai tanggapan masyarakat.
Artis menjadi perhatian masyarakat dan ada yang digilai peminat. Apabila kau buat perniagaan seperti itu, secara tidak langsung, tempias pandangan negatif masyarakat terhadap artis semakin menebal. Iskhhh… kenapalah sampai jadi begitu. Sedihlah Gayah sebab perkara begini boleh berlaku.
Kau mungkin boleh cakap, kubur lain-lain, suka hati akulah nak buat apa, tetapi bagi Gayah disebabkan kau artis, kau tak boleh buat begitu.
Kau sudah memberi gambaran hidup sebagai artis sememangnya boleh menghalalkan apa yang jelas haram.
Sudahlah sekarang, semakin ramai yang pakai seksi dengan imej terbonjol sana terbonjol sini, ditambah pula dengan perniagaan yang diselubungi maksiat, bertambah songsanglah industri hiburan.
Gayah hanya membebel benda yang Gayah rasa patut diketengahkan. Gayah tak pedulilah kalau ada yang tak setuju, terutama golongan yang berkiblatkan Barat. Barangkali mereka akan kata Gayah kolot, tetapi ada Gayah kisah? Gayah mengharapkan artis kita memberi contoh baik kepada masyarakat. Ketika ini sukar untuk menemuinya. Setakat yang tak elok banyaklah.
Bercerai, khalwat, dadah, pukul anak, pukul isteri, pakai seksi tak ingat dunia, banyaklah… sampai naik muak Gayah nak beri teguran.
Gayah tetap berharap, apa yang Gayah harapkan itu menjadi kenyataan satu hari nanti.
Sebelum berundur, Gayah nak cakap sikit mengenai rancangan Mentor yang memang Gayah tak pernah ketinggalan menontonnya.
Gayah tak mahu cakap banyak, cuma kurang-kurangkanlah memberi gambaran kemesraan si ‘mummy’ dan protegenya. Maksud Gayah, tak payahlah setiap kali buat persembahan tunjuk adegan cium tangan itu.
Memang ia menggambarkan budi bahasa tinggi dan luhur, tetapi hukum yang ditetapkan tidak boleh dihalalkan sesuka hati. Korang bukannya ibu dan anak susuan! Satu lagi, kepada mentor, terimalah teguran juri dengan hati terbuka dan profesional. Tak payah nak terlalu mempertahankan diri. Macam minggu lepas Gayah sebagai penonton memang nampak sangat protege si Mus May itu seperti Mus.
Tak perlulah nak pertikaikan sangat kenyataan juri. Cari jalan untuk jadikan protege kau yang terbaik dan lain daripada yang lain.