APABILA membaca muka depan Harian Metro semalam (Khamis) mengenai model insaf selepas dijatuhkan hukuman enam sebatan kerana minum arak, SS berharap berita itu memberi kesedaran kepada artis-artis kita.
Maklumlah, dalam ruangan ini selalu juga SS paparkan ada artis tanpa rasa malu minum arak di hadapan umum. Sah-sah wajah mereka dikenali dan mereka juga beragama Islam, tentu tahu hukum minum arak itu haram dan dosa besar.
Tapi itulah yang mereka suka lakukan seperti seorang artis wanita popular ini antara selebriti tanah air yang sering dikaitkan dengan hobinya gemar meneguk air setan itu. Selepas minum apalagi, mabuk tidak ingat dunia hingga menjadi tumpuan dan bualan.
Tapi SS ada perkembangan terbaru mengenai artis ini. Bukan cerita mengenai artis ini sudah insaf sebagaimana model itu tapi makin galak adalah. Sebabnya, kawan baiknya membuka perniagaan pusat hiburan. Sudah tentu di tempat-tempat seperti itu ada menjual minuman keras yang haram itu.
Kalau tidak minum tapi jual arak, juga berdosa besar kerana bersubahat. Cerita ini disampaikan teman SS yang mendengar perbualan adiknya bersama teman-teman mengenai pusat hiburan yang baru dibuka rakannya itu, juga kawan baik artis popular ini.
Mereka juga sempat melawak mengutuk kawan baik mereka itu mengatakan walaupun mereka bukan alim tapi tahulah juga hukum hakam. Takkan nak bagi keluarga makan duit haram.
Banyak lagi cabang rezeki dalam perniagaan ini, mengapa jual arak jadi pilihan. Agaknya bisnes ini mendapat restu dan sokongan artis itu. Maklumlah, senanglah dia hendak lepak-lepak sambil minum di pusat hiburan milik kawan baiknya itu.
Tambah meriah apabila dibawa keluarganya sekali. SS dengar ibu bapanya juga gemar minum air setan itu. Kata orang, bapa borek anak rintik. Agaknya bila sudah ditangkap pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman sebat baru ingat dosa dan mahu taubat.
Jangan terlambat nanti sudahlah. Sebabnya, bukan semua orang diberi peluang kedua sebagaimana model itu insaf selepas ditangkap dan dihukum. [sumber]