SOSEH SOSEH: Tak rugi jika merendah diri
SUDAH banyak SS mendengar cerita negatif mengenai artis wanita yang seorang ini. Sikapnya yang berlagak diva di lokasi itu memang sudah menjadi buah mulut di kalangan orang dalam produksi tanah air sejak zaman bujang lagi.
Namun, kata rakan SS, sejak bercerai dengan suaminya yang berpangkat, artis wanita ini dikatakan macam orang sakit jiwa pula kerana mungkin dia tidak boleh terima kesusahan hidup yang dialaminya sejak menjanda.
Memang dia sudah ada teman lelaki tapi tidak tahu pula sejauh mana hubungan mereka itu. Adakah mampu ke jinjang pelamin? Nak dijadikan cerita, kata rakan SS, satu hari, artis itu dengan gaya bongkaknya memberitahu pada kru produksi teman lelakinya yang kacak itu akan datang menjemputnya di lokasi penggambaran sebuah drama. Rakan SS masih ingat lagi kata-kata artis wanita itu kepadanya, “My Boyfriend will pick me up later” dengan nada bersungguh-sungguh dan yakin sangat teman lelakinya itu akan datang.
Alih-alih kata rakan SS, hanya teksi yang datang menjemputnya di hujung simpang berhampiran kawasan penggambaran berkenaan. Manalah perginya kekasih hati yang disebut-sebut itu? Rakan SS dan kru produksi yang melihat insiden itu hanya menggeleng kepala melihat perilaku artis wanita berkenaan. Tak pernah sekalipun dia hendak merendah diri dan sentiasa fikir dirinya lebih hebat daripada orang lain.
Dalam satu lagi insiden, kata rakan SS, artis wanita itu mengaku dia tidak boleh makan makanan yang disediakan produksi drama kerana makanan itu tidak menepati cita rasanya sebagai pelakon yang hebat di persada seni tanah air dan bukan standardnya untuk makan `nasi lokasi’ seperti itu.
Apa yang lucunya kata rakan SS, tidak lama selepas itu dia melihat artis wanita itu dengan gelagat sorok-sorok mengambil juga makanan yang disediakan di situ dan masuk ke dalam bilik solekan. Kesiannya.
Tidak cukup dengan itu, artis wanita ini juga pernah mengata di belakang yang pemilik rumah tempat mereka menjayakan penggambaran drama itu tidak reti solat sedangkan dirinya sendiri pun tidak sempurna. Rakan SS masih ingat lagi, artis wanita itu sendiri pernah memberitahu kru produksi dia tidak dapat menunaikan solat di lokasi penggambaran kerana wajahnya sudah siap dengan solekan ketika itu.
Jadi kalau sendiri tidak betul, janganlah pandai mengata orang lain. SS harap, pelakon yang dimaksudkan itu akan segera kikis semua sikap buruknya.
SS bimbang, kalau sikap buruknya itu berterusan, produser drama pun akan takut mengambilnya berlakon lagi. Jika itu yang berlaku, bagaimana dia ingin membesarkan anak-anaknya menjadi insan berguna kelak? Bagi SS, tidak rugi jika artis wanita itu merendah diri dan berpijak di bumi nyata dan menerima perceraiannya itu sebagai ujian Tuhan untuk menguji keimanan ibu tunggal sepertinya. Apatah lagi, dia juga dianugerahkan bakat berlakon sebagai mata pencarian untuk menyara hidup.{sumber]