Dengarnya… Kalau sudah cinta, kahwin saja…
Dipetik dari ruangan Gosip Cik Normah (Berita Harian)
KALAU betul bercinta, tak payahlah sibuk nak berdolak- dalik lagi. Dulu orang simpati kepada seorang artis ini gara-gara suaminya yang sanggup tinggalkan dia dan anak-anak semata-mata untuk bersama dengan wanita lain. Tapi sejak artis wanita itu dikaitkan dengan seorang lelaki, simpati orang ramai padanya semakin pudar.
Cik Normah dapat tahu sejak berkawan dengan lelaki itu, artis yang tidak kurang cantiknya itu semakin liar dan kononnya pernah diberkas polis ketika sedang berhibur di sebuah disko dalam keadaan mabuk. Dulu pernah juga kecoh yang pasangan ini pergi bercuti berdua-duaan saja. Ingatkan apabila orang dah terhidu, pasangan ini akan lebih berhati-hati. Tetapi tidak rupa-rupanya.
Terbaru Cik Normah dapat maklumat dua ‘sahabat baik’ ini khabarnya bercuti pula ke sebuah lagi negara jiran. Tak tahu pula Cik Normah kalau-kalau ada penggambaran drama di sana atau mereka sendiri yang bikin drama. Atau mungkin mereka ke sana untuk membeli persiapan perkahwinan, maklum sajalah di sana banyak kain renda yang cantik dan murah.
Cuma apa yang tak sedapnya, artis wanita itu sanggup tinggalkan anaknya hanya kerana nak pergi bercuti dengan lelaki itu. Tak tahulah pula sama ada anaknya diletakkan di bawa jagaan ibunya atau mungkin bekas suaminya. Cik Normah tak kisah kalau mereka pergi beramai-ramai, ini pergi berdua pelbagai syak wasangka boleh timbul.
Cik Normah tak mahu menuduh apa yang pasangan itu buat di sana, tetapi sumber maklumat Cik Normah yang geram sangat melihat pasangan ini di lapangan terbang berdua, sedang bersiap sedia untuk berlepas minta Cik Normah tegur sikit pasangan kekasih ini.
Katanya kalau sudah berdua, macam-macam benda yang tak baik boleh berlaku. Dia sebenarnya simpati dengan artis itu yang semakin hanyut sejak rumah tangganya dilanda badai. Cuma nak ingatkan sampai bila dia akan terselamat. Kalau betul dia ada buat benda yang tak baik, lambat-laun Tuhan akan tunjukkan juga satu hari nanti.
Kalau betul-betul sudah suka sama suka, janganlah fikir panjang lagi. Ambil saja jalan terbaik iaitu menamatkan perhubungan itu dengan ikatan yang sah dan suci. Janganlah terlalu leka hingga diri mereka sering jadi bahan fitnah. Ingat-ingatlah sikit pada nama baik keluarga dan anak-anak.