Dengarnya… Gara-gara ‘high maintainance’
CIK Normah selalu kagum dengan orang yang memiliki rupa paras jelita kerana mereka ini selalunya menjadi perhatian ramai. Selalunya orang cantik ramai yang suka dampingi. Bagaimanapun, kisah yang Cik Normah dengar ini pula sebaliknya.
Kisah ini mengenai seorang penyanyi lelaki yang sedang meningkat naik. Kalau sedang meningkat naik tentunya mereka ini menjadi perhatian ramai wanita, peminat penyanyi itu bukan setakat orang biasa saja, malah salah seorangnya adalah artis jelita juga.
Kononnya artis jelita itu mengilai penyanyi lelaki ini hingga sanggup menyuruh rakannya memperkenalkan penyanyi itu kepadanya. Maka kawannya pun menurut perintah memperkenalkan penyanyi itu kepadanya. Lalu bermulalah episod perkenalan mereka.
Sebelum ini Cik Normah pernah juga terdengar gosip yang mengaitkan mereka berdua ini. Kira hangat jugalah, bagaimanapun, tup tup kawan Cik Normah beritahu yang penyanyi lelaki itu tidak terfikir untuk serius dalam persahabatan mereka kerana si artis jelita itu ‘high maintainance’ atau dalam bahasa Melayunya tinggi penyelenggaraan. Bukanlah penyelenggaraan untuk rumah tetapi kos bulanan untuk mekap, baju dan segala aksesori semuanya tinggi tak terjangkau dek kemampuan penyanyi itu.
Maklumlah artis ini Cik Normah perhatikan mengamalkan gaya hidup mewah macam orang yang ada kelas. Semua benda nak berjenama walaupun dirinya bukanlah artis besar pun sedangkan penyanyi lelaki itu pula baru nak merangkak dalam industri muzik. Maklumlah pendapatan menyanyi ini bukanlah menentu sangat, ada masa lumayan dan ada masa tak ada langsung.
Cik Normah tengok si penyanyi ini pun jenis yang sempoi, pakai pun ala-ala bukanlah berjenama macam si artis wanita tadi. Mungkin dari situ dia merasakan tiada keserasian antara satu sama lain, jadi sebelum perhubungan itu menjadi lebih jauh lagi, penyanyi itu pun mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.
Nampaknya si artis jelita itu kalau nak mencari pengganti terpaksalah cari ikan jerung, lelaki yang setakat bertaraf ikan kembung tak payahlah nak bermimpi. Silap hari bulan, sebulan gaji belum cukup untuk menampung kos alat soleknya. Pada artis wanita itu pula, nampaknya selepas ini dia kenalah mensasarkan panahnya pada ikan jerung sebab hanya mereka ini saja yang mampu memenuhi keperluan bulanannya. [sumber]