Bagi kebanyakan daripada kita, kata laluan adalah barisan pertahanan pertama kepada kehidupan digital kita. Walau bagaimanapun, pengurusan sekumpulan kata laluan yang kuat tidak semestinya mudah, dan ini menyebabkan ramai mencari jalan pintas (contohnya: nama kucing + hari jadi) atau mengabaikan amalan terbaik kata laluan yang mendedahkan mereka kepada risiko dalam talian. Di Google, kami melindungi pengguna kami dengan produk yang selamat secara lalai – begitulah cara kami memastikan lebih ramai selamat ketika dalam talian berbanding pihak-pihak lain di seluruh dunia.
Menjadikan log masuk menggunakan kata laluan lancar dan selamat
Setiap hari, Google memeriksa keselamatan 1 bilion kata laluan untuk melindungi akaun anda daripada digodam. Pengurus Kata Laluan Google, yang dibina secara terus ke dalam Chrome, Android dan Aplikasi Google, menggunakan teknologi keselamatan terkini untuk memastikan kata laluan anda selamat di semua laman web dan aplikasi yang anda gunakan. Ini menjadikannya lebih mudah untuk mencipta dan menggunakan kata laluan yang kuat dan unik pada semua peranti anda, tanpa perlu mengingati atau mengulanginya.
Di iOS juga, anda boleh memilih supaya Chrome mengisi kata laluan yang disimpan secara automatik di aplikasi lain. Ini bermakna pengalaman log masuk anda berubah daripada mengingat dan menaip kata laluan di setiap laman web kepada hanya satu ketik. Dan tidak lama lagi, anda akan dapat memanfaatkan ciri penjanaan kata laluan Chrome yang kuat untuk mana-mana aplikasi iOS, sama seperti cara Autofill dengan Google berfungsi pada Android hari ini.
Kami juga akan melancarkan sebuah ciri di aplikasi Google yang membolehkan anda mengakses semua kata laluan yang telah anda simpan di Google Password Manager terus dari menu aplikasi Google. Penambahbaikan ini dirancang untuk memudah dan melancarkan pengalaman kata laluan anda — bukan hanya di Google, tetapi merentasi seluruh web.
Meningkatkan bilangan pengguna 2SV
Selain kata laluan, kami tahu bahawa penggunaan cara kedua bagi membuat pengesahan mengurangkan secara mendadak peluang penggodam untuk mendapatkan akses kepada akaun. Selama bertahun-tahun, Google berada di barisan hadapan bagi inovasi dalam pengesahan dua langkah (2SV), antara cara yang paling boleh dipercayai bagi mencegah akses tanpa izin kepada akaun dan rangkaian. 2SV adalah paling kukuh apabila ia menggabungkan “sesuatu yang anda tahu” (seperti kata laluan) dan “sesuatu yang anda miliki” (seperti telefon anda atau kunci keselamatan).
2SV telah menjadi teras kepada amalan keselamatan Google sendiri dan hari ini kami menjadikannya lebih lancar bagi pengguna kami dengan sebuah notifikasi daripada Google – ia akan memerlukan anda untuk membuktikan bahawa anda benar-benar cuba melog masuk dengan hanya satu ketikan mudah pada peranti mudah alih anda. Dan kerana kami tahu cara terbaik untuk menjaga keselamatan pengguna kami adalah dengan mengaktifkan perlindungan keselamatan kami secara lalai, kami telah mula mengkonfigurasi akaun pengguna kami secara automatik kepada keadaan yang lebih selamat. Pada akhir 2021, kami merancang untuk mendaftarkan secara automatik 150 juta pengguna Google ke dalam 2SV dan menghendaki 2 juta pencipta kandungan YouTube untuk menghidupkan fungsi ini.
Kami juga menyedari bahawa pilihan 2SV pada masa sekarang tidak sesuai bagi sesetengah orang, dan oleh itu, kami sedang berusaha menghasilkan teknologi yang memberikan pengalaman pengesahan yang selamat dan mudah, dan mengurangkan kebergantungan kepada kata laluan dalam jangka masa panjang. Sekarang ini, kami sedang mendaftarkan akaun Google yang memiliki mekanisme sandaran yang sepatutnya secara automatik untuk membuat peralihan yang lancar ke 2SV. Bagi memastikan akaun anda mempunyai tetapan yang betul, ambil Pemeriksaan Keselamatan ringkas kami.
Membina kunci keselamatan ke dalam peranti
Sebagai sebahagian daripada kerja keselamatan kami, kami menerajui penciptaan kunci keselamatan – satu lagi bentuk pengesahan yang memerlukan anda mengetik kunci apabila terdapat percubaan log masuk yang mencurigakan. Kami tahu kunci keselamatan memberikan tahap keselamatan yang setinggi mungkin, sebab itulah kami bekerjasama dengan pelbagai organisasi untuk memberikan kunci keselamatan percuma kepada lebih daripada 10,000 pengguna berisiko tinggi tahun ini.
Untuk menjadikan kunci keselamatan lebih mudah diakses, kami membina kemampuan ini secara langsung ke dalam telefon Android dan aplikasi Google Smart Lock kami pada peranti Apple. Hari ini, lebih daripada dua bilion peranti di seluruh dunia menyokong secara automatik teknologi 2SV sedia ada yang terkuat dan paling mudah digunakan.
Penambahbaikan log masuk tambahan
Kami baru-baru ini melancarkan One Tap dan sekumpulan identiti API baharu yang dipanggil Google Identity Services, yang menggunakan token selamat, bukan kata laluan, untuk melog masuk pengguna ke laman web dan aplikasi rakan kongsi kami, seperti Reddit dan Pinterest. Dengan Google Identity Services yang baharu, kami menggabungkan keselamatan lanjutan Google dengan log masuk yang mudah untuk memberikan pengalaman menyenangkan yang juga memastikan pengguna kekal selamat. Perkhidmatan baharu ini melambangkan masa depan pengesahan dan melindungi dari kerentanan seperti penggabungan klik, penjejakan piksel, dan ancaman berasaskan web dan aplikasi lain.
Secara keseluruhannya, kami mahu semua pengguna kami untuk mempunyai pengalaman log masuk yang mudah dan lancar yang merangkumi perlindungan keselamatan terbaik menerusi peranti dan akaun mereka. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai semua cara kami menjadikan setiap hari lebih selamat dengan Google, kunjungi Safety Center kami.