GOGELAVANI & THIAGA RAJAN TERUJA MENYAMBUT PESTA CAHAYA.
Ternyata perayaan Deepavali menjadi topik hangat perbualan di kalangan rakyat Malaysia yang beragama Hindu pada ketika ini. Semua penganut Hindu di seluruh tanahair begitu teruja untuk meraikan hari perayaan yang akan disambut dengan penuh keceriaan. Tidak ketinggalan dua orang rakan setugas yang juga personaliti popular RTM iaitu Gogelavani dan Thiaga Rajan yang begitu ceria menceritakan detik-detik indah merayakan Deepavali sebagai seorang selebriti RTM.
Sungguhpun masing-masing sudah hampir tiga tahun meraikan Deepavali bersama-sama sebagai rakan setugas di Bilik Berita TV, namun masing-masing memiliki cerita yang berbeza berkenaan sambutan Deepavali yang ingin dikongsikan bersama dengan peminat setia mereka. Oleh itu kesempatan yang hadir untuk menemubual mereka baru-baru ini digunakan sepenuhnya berkongsi perasaan mereka menjelangnya perayaan Pesta Cahaya kali ini.
Perayaan Deepavali Gogelavani dan Suami Bertambah Meriah dengan Kehadiran Cahaya Mata Sulung
Perayaan Deepavali anak gadis yang berasal Padang Serai, Kedah ini dan suami pastinya lebih bermakna kali ini dengan kehadiran cahaya mata sulung mereka Khatiressh yang kini berusia empat bulan. Berbeza dengan tahun lepas yang merupakan Deepavalinya yang pertama bersama suami tersayang, Arunagiri Nathan yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Menurut pembaca berita Warta Tamil yang berusia 30 tahun ini, “Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut agama Hindu di seluruh dunia. Perkataan merupakan gabungan perkataaan ‘Dipa’ yang bererti cahaya dan perkataan ‘Gavali’ yang bererti barisan. Perayaan Deepavali disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai Pesta Cahaya. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakn di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali ”.
Bila dijemput berbual mengenai persiapan raya kali ini. Gogelavani memberitahu perayaan Deepavali kali ini disambut serba sederhana oleh kerana tahun ini dia baharu sahaja kehilangan bapa mertua serta datuk tersayang.
Selain itu, menurut Gogelavani pakaian tradisional merupakan pakaian yang wajib dipakai pada hari Deepavali ketika menunakan sembahyang pagi sama ada di kuil ataupun di rumah. Bagi wanita sari dan Punjabi suit manakala bagi lelaki pula vetti dan jippa yang merupakan pakaian tradisonal bagi masyarajak India. Tahun ini dia akan berada berada di kediaman mertua di Taiping, Perak pada hari Deepavali pertama manakala pada hari Deepavali kedua dia akan pulang ke rumah keluarganya yang terletak di Padang Serai, Kedah.
Ditanya apa juadah kegemarannya di hari Deepavali, Gogelavani berkata dia amat menggemari tosai dan idli yang dihidangkan bersama kari ayam dan kari kambing. Bukan itu sahaja, dia juga menggemari muruku yang merupakan satu juadah tradisonal Deepavali.
Dihujung sesi temubual bersamanya, dia mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penonton setia Warta Tamil.
Thiaga Rajan Merasakan Deepavali Masa Paling Ideal Meluangkan Masa di Kampung Halaman
Penyampai Berita yang telah 12 tahun berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) merasakan Deepavali adalah masa yang paling ideal bagi dirinya membawa ahli keluarga bercuti dan berehat di kampung halamannya yang terletak di Kampung Changkat Kruing, Sitiawan, Perak. Selain itu, dia akan menggunakan masa ini sepenuhnya untuk bermesra bersama sanak-saudara yang datang ke rumah.
Menurut Thiaga Rajan, “Deepavali merupakan perayaan yang mengingatkan kita supaya mensucikan diri kita dari segala kesalahan” ujarnya dengan serius.
Bila dilemparkan soalan sama ada dia bertugas di hari Deepavali nanti Thiaga Rajan hanya mampu tersenyum lebar sambil menjawab “Tahun ini saya tidak betugas di hari Deepavali, saya sekeluarga akan menyambut Deepavali di rumah keluarganya.
Seterusnya, Thiaga Rajan menceritakan pengalamannya pada tahun 1989 yang pernah menyambut Deepavali di India bersama rakan-rakan. Perasaan sedih yang teramat sangat menghantui diri dek teringatkan tak dapat bersama keluarga dan sanak saudara di hari Deepavali.
Ditanya apakah aktiviti yang kebiasaanya yang akan dilakukan di pagi Deepavali, Thiaga Rajan berkata sesudah selesai pergi ke kuil di sebelah pagi dia sekeluarga akan menjamu rakan dan saudara-mara yang berkunjung ke rumah.
Bila diajak berbual tentang persiapan menjelang hari Deepavali. Thiaga Rajan menjawab sambutan kali ini adalah serba sederhana. Tahun ini seperti kebiasaannya dia akan mengenakan dhoti dan jippa di sebelah pagi. Selain itu, Thiaga Rajan mengatakan murukku merupakan hidangan wajib di hari Deepavali.