Tinggal kira-kira sebulan saja lagi konsert, Ratu Rock negara, Ella, memberitahu beliau sudah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi di konsertnya yang akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 April depan.
Menurut Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin, 49, persiapan konsert berjalan lancar disamping beliau juga giat bersenam untuk menurunkan berat badannya.
“Allhamdulillah, persiapan sudah sudah 50 peratus dan saya sebenarnya sudah tidak sabar lagi untuk beraksi. Difahamkan tiket pun telah 60 peratus terjual. Saya sangat teruja dan gembira dengan sambutan hangat peminat.
“Selain menjalani latihan, saya juga sekarang dalam proses menurunkan berat badan. Setiap hari saya bersenam di gym sekurang-kurangnya selama satu jam.
“Berat saya sudah naik 10kg, selera makan saya sekarang pun semakin bertambah. Orang kata, sebab bahagia agaknya,” tuturnya dengan nada manja.
Ella ditemui pada acara Flashmob Bersama Ella, bertempat di Matic, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada acara ‘gimmick flashmob’ yang turut melibatkan seramai 110 pemuzik terdiri daripada para penuntut jurusan muzik dari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, Ella menyanyikan lagu Permata Permotong Permata.
Tambah istimewa, acara selama enam minit itu juga berjaya direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan dengan jumlah pemuzik teramai.
Sementara itu bercerita lanjut mengenai konsert, Ella bagaimanapun mengakui beliau berasa gementar kerana pada konsertnya nanti, beliau akan beraksi bersama pemuzik jemputan teman lama ketika sama- sama sebagai band Ella & The Boys iaitu Lord.
Selain turut ditampilkan Fly (pemain bass), Ridz (pemain gitar), Roza Rio (pemain keyboard), Ainol (pemain drum) serta gitaris terkenal tanah air, Man Kidal yang juga bertindak sebagai pengarah muzik konsert tersebut.
Tidak hanya itu, kumpulan Bunkface akan tampil untuk persembahan pembukaan. Disamping lagenda Rock tanah air, Amy Search dan Korie turut membuat persembahan.
“Saya teruja kerana barisan line-up yang akan mengiringi saya semuanya hebat dan saya memang sentiasa menantikan peluang mahu membuat persembahan bersama mereka.
“Tetapi dalam sama saya sebenarnya gementar kerana sudah terlalu lama saya tidak beraksi bersama abang Man dan abang Lord. Kali terakhir saya membuat persembahan bersama abang Lord sewaktu bersama band dulu sekitar tahun 1989. Tapi saya percaya kami mampu mendapatkan keserasian seperti mana satu ketika dulu malah kami akan berikan yang terbaik untuk peminat,” tuturnya.
Dianjurkan oleh Atlas One Events, Konsert Ella 2016 merupakan konsert terbesar Ella setelah hampir 15 tahun tanpa konsert berskala besar.
Sumber: Malaysian DIgest