Kesal Aliff terus mencetuskan kontroversi termasuk terbaru, memuat naik video tangisan ‘darah’ bagi mempromosikan single Ingin Bahagia, Rozita mahu anaknya berhenti menagih perhatian ramai dengan aksi memalukan keluarga.
Membuka kata dengan mengulas mengenai single terbaru anaknya itu, Rozita yang memiliki tujuh cahaya mata, meminta Aliff menumpukan perhatian kepada perniagaan kerana tidak berbakat sebagai penyanyi.
“Sebenarnya, apa yang kita buat, itu yang kita dapat. Dengar baik-baik Syukri, sudahlah lagu tu… Mak bukan niat nak menjatuhkan kau tapi sebab mak sayang.
“Dah tak tahu nak komen macam mana lagi dah. Bukan mak tak nak nasihat, mak dah gagap dah. Kalau kau nak mak panjang umur, kau nak mak hidup aman, tolonglah jadi profesional.
“Bukan lagi menyanyi, sebab Syukri bukan artis dan tak perlu pun hendak menunjukkan benda merapu-rapu, sesuai dengan umur dan lagi satu, mak pesan tolonglah kasihan maruah kami semua.
“Tak payahlah berlagu-lagu Syukri. Semua orang tahu suara engkau tu tak sedap. Tak sedap pun, tak payah berlagu-lagu,” katanya.
Dalam video berdurasi dua minit 29 saat yang dimuat naik di Instagram (IG), Rozita terlebih dahulu memohon maaf kepada Aliff kerana terpaksa berkongsi rakaman berkenaan.
Rozita mendakwa tidak tahu apa lagi ikhtiar yang boleh dibuat untuk menyedarkan Aliff.
Dakwanya, dia sudah menggunakan pelbagai cara iaitu iaitu menegur baik-baik, marah, menjerit dan menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp.
Namun, tambah Rozita, nasihatnya tidak diendahkan Aliff.
Rozita berkata, dia sudah tidak sanggup menanggung malu atas sikap anaknya itu. Malah, dia tidak rela dilabel tidak pandai menjaga anak.
“Buruk anak, orang tak cakap kau buruk, orang cakap aku. Orang cakap mak yang tak pandai jaga anak.
“Mak bukan tak ajar, tak ada mak yang nak anak dia musnah… Tak ada. Mak rasa mak dah tarbiah kau dengan cara paling lembut, jagalah maruah kerana kebaikan kamu Syukri adalah kebaikan mak. Keburukan kamu Syukri adalah keburukan mak.
“Kalau betul engkau, mak tak didik dulu, kenapa tak semua adik-beradik tak ikut macam itu? Bukan mak tak didik, mak dah cakap dah. Sekarang kau buat lagi, lagu menangis. Lagu menangis kau, berdarah-darah tu kenapa?” katanya.
Rozita turut mempersoalkan kenyataan yang sering dibuat Aliff, konon hidupnya menderita. Sedangkan kata wanita itu, kehidupan anaknya serba lengkap.
“Apa yang derita sangat? Berapa banyak nikmat yang Allah beri pada kau… Tak nampak ke?
“Nak bagi faham, macam mana kalau engkau cakap buruk – A, B, C dan D, orang cakap bukan untuk niat nak jatuhkan kau.
“Sebenarnya, memang kau yang pilih jalan jatuh. Sebab apa tau, memang kau suka orang kecam. Masalahnya perangai kau tu, terpalit dekat mak,” katanya.
Sebelum mengakhiri video berkenaan, Rozita sempat berpesan kepada Aliff supaya menjaga maruah ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak.
“Bukan diri sendiri, tetapi, pandang maruah kami semua. Siapa? mak ayah, adik-beradik dan anak-anak kamu, Syukri. Mak sayang kamu.
“Mak minta maaf banyak-banyak. Mak terpaksa buat komen secara terbuka kerana sampai masa mak bersuara, “ katanya.
Perkongsian Rozita yang dimuat naik kira-kira enam jam lalu sudah merekodkan hampir 300,000 tontonan dengan lebih 2,000 komen.
Rata-rata netizen simpati dengan nasib Rozita dan faham perasaan ibu yang hatinya disakiti dan terluka.
Petikan: Berita Harian