Kumpulan K-pop, GFriend bakal menyanyikan sebuah lagu popular mereka dalam bahasa Melayu pada konsert di Stadium Malawati, Shah Alam pada petang ini.
Anggotanya, Eunha berkata, mereka teruja dapat menghiburkan peminat di negara ini, namun terpaksa merahsiakan judul lagu yang dinyanyikan itu sebagai kejutan.
“Kami terharu melihat sambutan hangat peminat yang setia menanti ketibaan GFriend di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.
“Sebagai penghargaan, kami ingin menyampaikan sebuah lagu dalam bahasa Melayu, namun judulnya terpaksa kami rahsiakan untuk memberikan kejutan,”
– Eunha
Selain Eunha, kumpulan yang baru empat tahun ditubuhkan itu turut membariskan lima lagi gadis jelita iaitu Sowon, Yerin, SinB, Yuju dan Umji.
Konsert Gfriend di negara ini menjadi aksi pembukaan mereka pada siri jelajah Asia Tour (Go Go GFriend) 2019 sebelum beralih ke Singapura, bulan depan.
Dibawakan Macpie Pro, mereka dijangka beraksi selama dua jam bersama deretan lagu popular, termasuk Gustas Tu daripada album mini yang mencatat 100 juta penstriman dalam carta Gaon pada 2016.
Sementara itu, Yuju pula berkata, mereka tidak mahu melepaskan peluang menikmati keenakan nasi lemak pada kunjungan pertama di negara ini.
“Kami baru sampai semalam, selepas melalui lebih enam jam penerbangan. Cuma, sedihnya kami belum sempat menikmati nasi lemak yang disebut-sebut sebagai sajian paling enak di sini.
“Selain tidak sabar bertemu Buddy (panggilan buat peminat tegar GFriend), sudah pasti makanan tempatan juga menjadi antara perkara yang harus kami cuba,”
– Yuju
Ditanya rahsia persefahaman mereka, tanpa berselindung Yerin mendedahkan, pada peringkat awal sukar untuk GFriend mencari keserasian.
Namun, hubungan mereka mulai erat apabila belajar mengenali dan memahami karakter masing-masing.
“Kami datang dari latar yang berbeza dan digabungkan tanpa sempat mengenali karakter sebenar masing-masing. Kesempatan menjalani latihan bersama kami gunakan untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.
“Selepas hampir empat tahun bersama, kami sudah seperti saudara, malah setiap masalah dibincangkan secara terbuka bagi mengelakkan salah faham.
“Setakat ini, tiada sebarang kekusutan atau pergaduhan besar kerana setiap permasalahan kami akan selesaikan dengan cepat.
“Kami sudah seperti adik-beradik, kalau pagi merajuk, tetapi tengah hari kami sudah berbaik semula,”
Konsert GFriend Asia Tour (Go Go Gfriend) di Kuala Lumpur akan bermula jam 6 petang ini.