Pulau Pinang bakal menjadi tumpuan dunia pada awal bulan Mei 2025 apabila acara perdana George Town International Culture Fashion Festival (GICF) 2025 membuka tirainya. Buat pertama kalinya, festival berskala antarabangsa ini akan menyatukan penggiat fesyen, penggiat budaya, pendidik dan masyarakat umum dalam sebuah acara tiga hari yang cukup meriah dengan tema utama: Connection, Fashion dan Education.
Festival ini dianjurkan oleh Urban Formation Ventures dengan kerjasama MBG sebagai penganjur bersama. Ia juga mendapat sokongan kukuh daripada pelbagai agensi strategik seperti Kelab Anak-Anak Pulau Pinang (KAAPP)sebagai NGO rasmi serta Hotel Neo+ Penang sebagai rakan hotel rasmi. Pelbagai badan lain turut berganding bahu menjayakan festival ini termasuk Persatuan Negeri (Cina) Pulau Pinang, Prodigy Syndrome Management, PAAA, SLV Production, dan ramai lagi.
Hari Pertama: Jalinan Komuniti Melalui Muzik dan Perasmian Meriah
Festival dimulakan pada 2 Mei 2025 (Jumaat) dengan majlis Perasmian GICF seawal jam 9.00 pagi yang turut dihadiri tetamu kenamaan dan pemimpin industri kreatif. Sesi ini diikuti dengan lawatan VVIP dan kunjungan ke gerai pameran, membuka ruang interaksi antara pengunjung dengan penggiat seni dan pereka fesyen.
Menepati hari Jumaat, acara berehat seketika untuk solat Jumaat dan makan tengah hari, sebelum festival disambung semula pada jam 5.00 petang dengan Persembahan Muzik Secara Langsung (Sesi 1). Sesi ini membawa suasana santai tetapi penuh semangat kekitaan, menampilkan bakat muzik tempatan. Selepas waktu maghrib dan makan malam, persembahan diteruskan dengan Sesi Kedua pada jam 8.00 malam, menjadikan malam pembukaan GICF cukup hangat dan bersemangat.
Hari Kedua: Fesyen Bertemu Budaya Dalam Nuansa Global
Sabtu, 3 Mei 2025, merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat fesyen. Dimulakan dengan GICF Fashion Fun Run sejauh 3-5km pada jam 7.30 pagi, larian ini bukan sekadar aktiviti kecergasan tetapi turut menampilkan unsur budaya menerusi tema “Run with Culture, Unite with Fashion”, menjadikannya satu pengalaman yang menyeronokkan dan unik.
Seterusnya pada jam 11.00 pagi, pentas utama GICF menampilkan Fashion Show (Sesi 1) yang mempersembahkan koleksi pereka tempatan dan antarabangsa merangkumi pelbagai genre – dari rekaan tradisional ke kontemporari dan streetwear. Tidak cukup dengan itu, pentas turut dimeriahkan dengan Persembahan Budaya jam 3.00 petang yang menyatukan elemen muzik, tarian dan seni visual dari pelbagai latar budaya.
Acara fesyen diteruskan pada jam 5.00 petang dengan Fashion Show (Sesi 2). Malamnya pula dimeriahkan dengan Persembahan Langsung dari Artis Indonesia dan Malaysia pada jam 8.00 malam, membuktikan lagi jalinan serantau antara dua negara dalam bidang seni dan budaya.
Hari Ketiga: Pendidikan dan Budaya Disemai Bersama
Ahad, 4 Mei 2025, memberi fokus kepada elemen pendidikan dan pengembangan ilmu dalam industri kreatif. Bermula jam 10.00 pagi, pengunjung boleh menyertai sesi Podcast & Workshop yang memperkenalkan pelbagai topik relevan termasuk kerjaya kreatif, pembangunan jenama dan peranan teknologi dalam industri fesyen.
Pada jam 12.00 tengah hari, Demonstrasi Seni & Budaya mengambil alih pentas, menampilkan keunikan teknik kreatif, seni kraf serta persembahan interaktif dari pelbagai komuniti seni. Puncak hari Ahad disambut dengan Pertandingan Fesyen pada jam 5.00 petang — platform untuk bakat baharu menunjukkan kreativiti dan mendapatkan pengiktirafan.
Acara berakhir dengan Majlis Penutupan pada jam 8.00 malam, diikuti Wayang Pacak (Wayang Kulit) jam 9.00 malam – satu sentuhan nostalgia yang mengangkat warisan budaya tradisional. Sebagai penutup rasmi GICF 2025, Persembahan Langsung oleh Artis Malaysia & Indonesia akan berlangsung pada jam 10.00 malam, menutup tirai festival dengan penuh warna dan jiwa.
GICF 2025 Bukan Sekadar Festival, Tapi Satu Gerakan Budaya
Selain menghiburkan dan memperlihatkan keindahan budaya, GICF 2025 turut mensasarkan pencapaian yang bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records melalui dua kejayaan utama: menjadi Festival Fesyen Budaya Tepi Laut Pertama di Malaysia serta Landasan Peragaan Awam Terpanjang di Malaysia.
Festival ini bukan sahaja menjadi ruang pameran untuk pereka dan penggiat seni, malah turut menyediakan platform pendidikan kepada generasi muda yang ingin menembusi industri kreatif. Ia juga menjadi pentas pertemuan dan kolaborasi antara budaya tempatan dan antarabangsa, merentas sempadan dan membina rangkaian global.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, GICF 2025 adalah satu inisiatif luar biasa yang berjaya menghimpunkan seni, budaya dan pendidikan dalam satu ruang yang inklusif dan mesra pengunjung. Ia bukan sahaja menjulang bakat tempatan ke pentas global, tetapi turut menyemai semangat kesatuan, toleransi budaya dan kreativiti yang berakar dari nilai warisan.
Cadangan Budiey, festival seperti ini wajar dijadikan acara tahunan kerana impaknya bukan sahaja memberi faedah kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif, tetapi juga menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai pemimpin seni dan budaya yang berwawasan. George Town sudah sememangnya terkenal sebagai tapak warisan dunia UNESCO – dan dengan GICF, kota ini terus membuktikan bahawa warisan dan gaya hidup moden boleh wujud seiring, saling melengkapi dan terus memberi inspirasi kepada dunia.
Jangan lupa, catat tarikh dan sertai GICF 2025 di George Town, tempat di mana dunia bertemu dengan penuh gaya dan makna!