Dari pentas bangsawan ke zaman wayang pacak, dari tv hitam putih ke tv warna warni, dari skrin melengkung ke skrin LED, dari pentas ‘funfair’ ke panggung eksklusif , namun lawak tetap lawak…
Menjelang tahun baru 2014 ini kita bawakan pementasan lawak jenaka kontemporari dan aksi komedi yang pasti tidak akan mengeringkan gusi tetapi pasti akan memecahkan lemak di perut. Pementasan ini diberi nama GENG LAWAK!
Seramai 8 orang pelawak generasi X dan Y, akan berpadu suara yang tidak seberapa, bersatu tenaga samada yang kurus mahupun yang berotot di lengannya…
Buat pertama kali dalam sejarah, pentas yang gah dan sebesar Dewan Plenari, PICC Putrajaya menganjurkan acara pementasan sebegini di mana ia akan dimeriahkan dengan pementasan lawak jenaka secara duduk dan berdiri bergilir gilir selama 2 jam…yang menampilkan barisan para pelawak serba boleh dan serba serbi…dengan kumpulan JAMBU!…
Siapa yang JAMBU?
[dropcap]M[/dropcap]ereka adalah regu Tauke dan Yus! Tauke Raja Lawak atau nama sebenar Zamatul Amri bin Zakaria dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada April 1976. Menyertai program TV Sinaran Passport Kegemilangan pada 2001 bersama Kumpulan ‘Tak Tahu Menahu’. Pada 2007, Tauke mendapat tempat ke 4 dalam program ‘Raja Lawak’ yang pertama.
Yus Raja Lawak atau nama sebenar Yussry Bin Edoo dilahirkan di Kangar, Perlis pada Mac 1976. Anak bongsu dari tiga beradik ini menamatkan zaman persekolahan di Sekolah Menengah Syed Alwi, Kangar dan mula aktif dalam teater. Menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan pada 2001 tetapi tidak begitu menonjol. Pada 2007, Yus menyertai program Raja Lawak yang pertama dan menjadi Juara.
Pada 2011, Tauke bergandingan bersama Yus Raja Lawak untuk program Maharaja Lawak dan menamakan diri mereka JAMBU kerana mereka sangat ‘jambu’ lalu berjaya mendapat tempat ke 4 keseluruhan. Pada 2012, JAMBU menyertai program ‘Super Spontan’ dan mendapat tempat ke 3.
Seterusnya?
Seterusnya adalah gabungan mantap dan menggigit… Kumpulan OSAMA!
Siapa OSAMA?
[dropcap]M[/dropcap]ereka adalah ‘the legendary’ Mr. Os dan Isma! Mr. Os atau Mohd Yusof bin Abdul Hamid berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Mempopularkan loghat Perak di media elektronik, Os memulakan kerjaya seni melalui filem ‘Balik Kampung’ pada 1986. Os berlakon dalam 15 buah filem termasuk sebuah filem yang bertajuk ‘Mr.Os’. Selepas 1997, Os menyepikan diri diri sebelum kembali aktif semula pada 2009. Pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik di dua Festival Filem Malaysia iaitu pada 1987 dan 1997. Os punyai fizikal yang signifikan pada giginya yang sering dijadikan bahan komedi. Pada 2011, Os bersama Abon membentuk ‘Osbon’ dan menjuarai Maharaja Lawak Mega.
Isma atau Isma Aliff atau nama sebenar Mohd Latiff bin Ismail berasal dari Kuala Lumpur. Membintangi 6 buah filem sejak 1987 dan dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Bintang Popular 1988. Isma juga menjadi juri untuk program Raja Lawak 2013.
Untuk Maharaja Lawak Mega 2013, Os berganding dengan Isma dan menamakan diri mereka OSAMA!
Lagi?
Ada lagi…kali ini gandingan dua Teruna dan seorang Dara pula…kumpulan SYJ!
Siapa SYJ?
[dropcap]S[/dropcap]YJ adalah Shuk Balas, Yassin dan Jihan! Shuk atau nama sebenar Mohammad Shukri bin Mohamed Sahar berasal dari Pulau Pinang. Menubuhkan kumpulan BALAS untuk Raja Lawak 5 pada 2011 bersama rakannya Fendi. Kerana itu dia dikenali sebagai Shuk Balas.
Yassin Yahya pula lebih dikenali sebagai Yassin Senario sebelum ini. Dilahirkan di Kuala Lumpur pada Mei 1978. Menyertai kumpulan Senario yang ditubuhkan pada 1996 hasil gabungan 7 peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan 1995. Yassin berundur dari Senario pada 2002. Pernah membintangi lebih 15 buah filem. Dicalonkan sebanyak 5 kali untuk kategori Artis Komedi Lelaki Popular dan sekali untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular. Pada 2011 Yassin menyertai Maharaja Lawak Mega bersama dua lagi rakan pelawak.
Jihan adalah ‘bunga ros diantara duri’ dalam kumpulan SYJ ini. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Nuur Jihan binti Musa dulu dikenali di ruang siber sebagai ‘chickonah’ sebelum menjadi artis selepas menyertai Raja Lawak 3 pada 2009 dan menjadi naib juara.
Maka untuk Maharaja Lawak Mega 2013, Shuk, Yassin dan Jihan bergabung dengan kepakaran masing masing menjadi SYJ!
Siapa lagi pelawak yang ada?
Pelawak seterusnya adalah seorang pelawak yang tidak pernah penat berdiri, malah mampu mengumpulkan hampir 3,000 penonton sebelum ini dalam sebuah pementasan…tidak lain dan tidak bukan…dia adalah Kuah Jenhan!
Siapa pula KUAH JENHAN?
[dropcap]N[/dropcap]ama Kuah Jenhan sangat popular di kalangan khalayak lawak jenaka berdiri. Jejaka Malaya ini juga pernah mendapat perhatian dan membuat persembahan bersama pelawak tempatan di Australia dan Singapura. Hampir setiap persembahan Jenhan di seluruh Malaysia mendapat sambutan hangat hingga memecahkan kaunter jualan tiket.
Beliau adalah versi komedi kepada ungkapan ‘tall, dark and handsome’. Lawak jenaka beliau sering mendapat pengiktirafan dari pelawak yang jauh lebih kelakar dan berpengalaman. Jenhan turut terlibat dalam kempen komersial beberapa jenama pengguna seperti barangan elektrik, seluar ‘jeans’ koyak, kereta baru dan telefon bijak. Jenhan juga adalah kolumnis untuk sebuah majalah tempatan yang dikhaskan untuk para lelaki ‘macho’, kental dan berjaya selain terlibat dalam penulisan skrip produksi tv, pentas dan filem.
Ada pengacara majlis ke?
Ada…ketawa anda pula akan diuruskan secara berhemah oleh seorang pengacara majlis yang sangatlah terkenal dan lebih suka menjadi tukang karut…dia satu satunya pengacara kita, saudara Sabri Yunus!
Sabri Yunus?…macam kenal…
Memanglah kenal. Sabri Yunus dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 1961. Terkenal dengan bahasa rasminya loghat Kelantan dan dipercayai antara individu paling berpengaruh dalam mempromosi loghat Kelantan di media elektronik. Mula berlawak dari bangku sekolah sehingga aktif berteater di Dewan Bahasa Dan Pustaka. Sabri menjulang anugerah Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 dan Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular pada 1993, 1994, 1995, 1996 dan 2000. Terlibat dalam banyak teater, program TV dan filem. Antara filem yang dibintanginya adalah ‘Puteri Gunung Ledang’ pada tahun 2004 sebagai watak Sang Setia.
Apa lagi yang ada?
Selain dari ketawa terbahak bahak, anda juga boleh menggoyangkan badan dan menghentakkan kaki ke lantai bersama kumpulan KL STREET DRUMMERS!…
Apa itu KL STREET DRUMMERS?
[dropcap]K[/dropcap]L Street Drummers adalah sekumpulan anak muda yang selalu berganding bahu membuat persembahan gendang dan genderang dalam bulatan. Menggunakan alatan muzik seperti djembe, dunun, timbao dan shekere sambil mengalunkan irama tradisi dari Afrika, Brazil dan Guinea. Mereka telah memulakan akitiviti memekakkan telinga ini sejak bulan April 2011.
Sepuluh orang pemukul gendang genderang dan suka membuat kecoh ini akan akan muncul sebanyak dua kali dalam pementasan GENG LAWAK dengan konsep sekejap ada sekejap tiada…iaitu pada awal pementasan dan pada akhir pementasan!
Benarkah semua ini, bila dan di mana?
Benar…semua kejadian yang dinyatakan di atas akan benar benar berlaku pada hari Selasa malam Rabu, 31 Disember 2013, jam 9.00 malam hingga 11.00 malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Tapi AWAS!…boleh terkena batang hidung sendiri dan boleh terasa pedas kalau tergigit cili…
Sekian terimakasih, saya melaporkan dari tadi…untuk anda yang suka sangat bertanya…
Ringkasan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
- Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya (PICC) telah mula dibina pada tahun 2001 dan disiapkan pada tahun 2003. Kerajaan telah memutuskan untuk menguruskan sendiri PICC dan untuk tujuan itu ianya telah diletakkan di bawah pengurusan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri. Majlis pertama yang telah diadakan di PICC adalah Persidangan Organizations of Islamic Countries (OIC) pada Oktober 2003.
- Kerajaan pada 29 Mac 2013 telah memutuskan bahawa berkuat kuasa 1 Jun 2013, pengurusan PICC akan dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Perbadanan Putrajaya. Majlis penyerahan ini telah diadakan pada 1 April 2013. Syarikat Putrajaya International Convention Centre Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Putrajaya telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbirurus perjalanan operasi PICC mulai 31 Julai 2013.
- Antara kemudahan yang terdapat di PICC adalah Dewan Plenari yang boleh memuatkan seramai 3,000 orang, Dewan Perdana boleh memuatkan seramai 2500 orang, Dewan A & B yang masing-masing boleh dibahagikan untuk seminar, pameran atau bankuasi untuk 1,000 orang. Semua dewan dilengkapi dengan kemudahan bilik jurubahasa. Selain daripada 10 dewan mesyuarat, PICC juga menawarkan 14 bilik kecil untuk perbincangan, VIP Lounge, galeri awam, 2 restoran, 3 surau dan lebih dari 4 kiosk dan pusat perniagaan untuk kemudahan para perwakilan.