25,000 orang pengunjung telah membanjiri Festival Gegaria yang telah diadakan di Perkarangan Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, sabtu lalu. Festival yang julung kali diadakan oleh Media Prima Berhad itu bertujuan untuk menyatukan golongan belia yang sentiasa dihargai dan memberikan mereka sebuah platform untuk mengekspresikan diri selama satu hari.
25,000 ORANG PENGUNJUNG MEMBANJIRI FESTIVAL GEGARIA
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, “Kami berbangga kerana Festival Gegaria ini telah berlangsung dengan jayanya. Kami turut berterima kasih kepada kesemua pengunjung yang telah meluangkan masa pada hari sabtu yang lalu bersama kami. Tidak mengendahkan cuaca yang tidak begitu baik pada awalnya, para pengunjung festival ini tetap memeriahkan aktiviti Zumba di waktu pagi dan kekal bersama kami sehingga malam. Bagaimanapun, ini merupakan lokasi pertama Festival Gegaria dan kami amat mengalu-alukan segala maklum balas untuk menambah baik festival ini. Sesungguhnya, festival ini adalah untuk rakyat Malaysia berkarya, menimba inspirasi, dan berhibur. Oleh itu, warga Johor dan Pahang nantikanlah Festival Gegaria ini di Johor Bahru dan Kuantan pada bulan Februari nanti.”
Festival Gegaria ini terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan #Gegaria, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, Zon Gaya Hidup #Gegaria, Zon Komuniti #Gegaria, dan Zon Hiburan #Gegaria.
Zon Makan-Makan #Gegaria menawarkan pelbagai Food Truck, makanan segera, makanan tradisional, serta demo masakan disediakan buat para pengunjung yang menggemari juadah-juadah yang beraneka macam sepanjang hari. Antara makanan dan minuman yang disediakan adalah cendol durian, minuman buah-buahan ice blended, Ayam Goreng Uncle Bob dan banyak lagi. Lebih menarik lagi adalah pembelian makanan dan minuman di festival ini adalah dengan cara tanpa tunai melalui aplikasi mudah alih ‘Boost’. Para pembeli hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut, menambah wang didalam akaun mereka, dan mengimbas kod untuk membayar. Disamping itu, para pengunjung juga berpeluang untuk menimba resipi baharu dan bertemu secara peribadi bersama Cef Fikree Aznan dan Cef Naem dalam aktiviti Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM).
Di Zon Throwback Tunnel #Gegaria pula merupakan lokasi yang terbaik untuk para pengunjung menimba inspirasi berharga tentang perkembangan negara. Membentangkan dua buah kontena yang berhias artisitik, zon ini mempamerkan seni-seni yang menceritakan era-era perkembangan Malaysia bermula pada tahun 1950-an hingga kini dan hasil kerja jurugambar The New Straits Times Press dari Pusat Sumber NSTP. Throwback Tunnel ini telah terus memberikan inspirasi selama 10 pagi hingga 6 petang.
Tarikan lain yang terdapat di Festival Gegaria adalah, Zon Gaya Hidup #Gegaria (#Gegaria Lifestyle). Beroperasi daripada 10 pagi hingga 6 petang, Nisa Kay telah menemani para pengunjung di sebuah pentas mini. Para pengunjung telah berpeluang untuk mendengar sesi perkongsian oleh usahawan-usahawan muda, selebriti media sosial dan enam orang finalis Anugerah Juara Lagu 32 yang berkisarkan tips-tips menarik media sosial serta fesyen dan stail serta perkembangan artis terkini. Selain itu, pentas mini Gaya Hidup #Gegaria ini juga akan membuat demonstrasi mekap dan hijab untuk penimbaan ilmu para pengunjung. Antara barisan personaliti terkenal adalah Mafarika, Nabila Razali, De Fam, Elfira Loy, Padin Musa, dan The Ming Thing.
Selain itu, Festival Gegaria turut mengambil inisiatif untuk berkhidmat kembali kepada masyarakat dengan mewujudkan Zon Komuniti #Gegaria (#Gegaria Community). Di zon komuniti ini, pelbagai aktiviti disediakan selama 8 jam bermula 10 pagi untuk para pengunjung termasuk menderma darah, pemeriksaan kesihatan, dan pendaftaran undi dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Tarikan terakhir Festival Gegaria merupakan antara tarikan yang dinantikan oleh orang ramai iaitu Zon Hiburan #Gegaria (#Gegaria Entertainment). Sedikit berbeza dengan zon-zon yang lain kerana zon ini beroperasi sepanjang hari dari 8 pagi sehingga 10 malam melalui bahagian-bahagiannya yang berbeza. Pentas Utamanya telah bermula dengan Zumba #Gegaria pada awal pagi dan berehat sehingga ke petang. Namun, zon ini diteruskan dengan aktiviti-aktiviti fizikal, permainan tradisonal, dan permainan elektronik untuk belia yang menggemar menguji fizikal dan mental mereka. Antara permainan fizikal dan tradisional yang disediakan adalah Buih Gergasi, Timbang Takraw, Ting-ting, Congkak Gergasi.
Manakala buat penggemar permainan elektronik, bergandingan dengan MyGameOn (MGO) dan Garena, Festival Gegaria ini turut menyediakan pertandingan sukan elektronik untuk permainan FIFA Online 3, Arena of Valor, dan League of Legends dan merebut hadiah wang tunai bernilai RM10,000! Selain itu, terdapat juga Playstation 4, Nintendo dan XBOX untuk hiburan para pengunjung dan yang terkini adalah permaianan Virtual Reality yang pastinya telah memberikan pengalaman bermain di alam maya secara peribadi.
Bagaimanapun, acara permainan fizikal dan elektronik itu akan berhenti pada pukul 5 petang untuk memberi ruang kepada Konsert #Gegaria untuk berlangsung pada pukul 4 petang hingga 10 malam di Pentas Utama #Gegaria. Menampilkan enam finalis Anugerah Juara Lagu 32 seperti Salma, Haqiem Rosli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, dan Hael Husaini serta lima selebriti hebat seperti DeFam, Noh Salleh, Akim & the Majistret, Masdo, dan Bunkface.
Festival Gegaria akan memulakan pendaftaran seawal pada pukul 8 pagi dan diikuti dengan aktiviti pertamanya iaitu Zumba #gegaria di Pentas Utama Gegaria bersama Zumba Instructor (ZIN) ternama, Jessica Ong. Zumba #gegaria ini turut disokong oleh aplikasi mudah alih, ‘Wanita’ sebuah aplikasi yang dicipta oleh Media Prima Digital yang sentiasa memberi inspirasi kepada kaum hawa.
Festival Gegaria 2018 di Shah Alam ini merupakan lokasi pertama dalam siri penjelajahannya dan akan diikuti dengan Johor Bahru, Johor pada 3 Februari 2018 dan Kuantan, Pahang pada 24 Februari 2018. Untuk maklumat lanjut, para penggemar festival dan hiburan tanpa henti boleh layari laman Facebook rasmi Gegaria ‘GoGegaria’ (www.facebook.com/gogegaria) atau laman sosial Instagram @gogegaria (www.instagram.com/gogegaria). Jangan lupa juga untuk menggunakan tandapagar #gogegaria di laman sosial anda dan kongsikan pengalaman hebat anda bersama Festival Gegaria.