Takhta Man On Demand pada minggu kedua Gegar Lawak beralih kepada kumpulan yang cukup berpengalaman dalam bidang teater iaitu kumpulan 2B. Bertemakan ‘kenangan’, persembahan kumpulan 2B pada minggu lalu mengimbau kembali masa silam yang berlaku sepanjang persahabatan mereka.
Sebuah persembahan yang cukup menyerlah, ringkas tetapi berjaya menggegarkan dewan dengan punchlines yang lucu. Memetik kata-kata juri tetap, Douglas Lim, semasa memberi komen terhadap persembahan kumpulan duo ini, “Saya gagal mencari kelemahan dalam persembahan anda”. Beliau turut memuji 2B yang menunjukkan kematangan dalam persembahan mereka.
Sepakat memilih ‘Tabiat’ bagi tema persembahan minggu ketiga, 2B nampaknya harus terus berusaha keras untuk mengekalkan takhta Man On Demand yang diraih memandangkan salah seorang peserta wanita Gegar Lawak, Eyya, dan juga Man On Demand minggu pertama, kumpulan Kiut, mengekori rapat kumpulan 2B dalam carta undian. Mampukah 2B mempertahankan gelaran mereka? Sama-sama kita saksikan.