in

Kesinambungan Dokumentari Khas Hari Kebangsaan GARIS WAKTU 2

Khas meraikan sambutan hari kebangsaan 31 Ogos depan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan kesinambungan dokumentari khas bertajuk “Garis Waktu 2” yang disiarkan mulai 23 Ogos ini, setiap Selasa dan Rabu, pukul 11.30 malam di TV1.

13 episod siri kedua ini dikembangkan dengan memaparkan usaha-usaha yang dilakukan bagi menjejak kembali hasil tinggalan sejarah yang berlaku semasa era zaman peperangan.

poster Garis Waktu 2

Kesinambungan Dokumentari Khas Hari Kebangsaan,”Garis Waktu 2” di TV1

Tajuk yang dikongsikan iaitu “Serang Hendap Sg. Katibas”, “Panglima Salleh Selimpang Merah”, “Terowong Jerangkap”, “Pertempuran Di Gua Musang”, “Berakhir Penantian”, “Operasi Jelaku VI”, “Menyusuri Jejak Pengganas”, “Operasi Lundu – Pahlawan Gunung Gading”, “Serang Hendap Kenderaan”, “Operasi Indera II – Darah Pengorbanan”, “Penjejak Berkesan”, “Lanun Pulau Tambisan” dan “Satu Pengorbanan”.

Episod pertama dokumentari ini mengenai cara menangani ancaman komunis, ianya bukan sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi juga di Malaysia Timur terutamanya di Sarawak. Oleh itu Angkatan Tentera Malaysia mengerakkan ketumbukkan infantrinya ke bumi kenyalang antaranya adalah dari Rejimen Renjer Diraja. Dalam Operasi Spear Head 3, yang dijalankan pada tahun 1971, Bn Pertama Rejimen Renjer, Bn Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan Skuadron Pertama Rejimen Gerak Khas telah digerakkan bagi melakukan pembersihan kawasan bermula daripada sempadan Sarawak – Kalimantan sehinggalah ke Sg. Rajang.

Antara yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Lt. Kol Anuar Basha Khan yang ketika itu ditugaskan sebagai Pegawai Semboyan Rejimen (RSO) di Markas Taktikal Batalion di Nangah Engkuah, Kenowit, Sibu Sarawak. Semasa menjalankan tugas Lt. Kol Anuar dan anggotanya telah terlibat dalam pertempuran di Sg. Katibas mengakibatkan 7 orang terkorban dan 2 cedera parah sementara di pihak Pengganas Komunis yang berkekuatan 27 orang, 4 daripadanya berjaya ditembak mati.

Tajuk “Panglima Salleh Selimpang Merah” pula berkongsi kisah keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis di Daerah Batu Pahat telah berlaku sebaik sahaja tentera Jepun menyerah kalah pada 15 ogos 1945 setelah memerintah Tanah Melayu selama kira-kira 4 tahun. Keganasan yang dilakukan itu berpunca dari tanggapan bahawa orang-orang Melayu telah membantu tentera Jepun semasa Jepun memerintah Tanah Melayu. Ramai orang Melayu menjadi korban keganasan pengganas komunis bintang 3. Muncul seorang pahlawan bernama Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh.

Seterusnya dalam tajuk “Operasi Indera II – Darah Pengorbanan” membawa penonton kembali pada tanggal 10 Disember 1973, Operasi Indera dilancarkan. Operasi ini tertumpu di Negeri Pahang terutama di Bentong dan Raub, Pahang.



Dalam Operasi ini Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja ditugaskan untuk melakukan penjejakan terhadap Pengganas Komunis di Kawasan Sungai Liang, Raub. Pada 11 Jan 1974, Kapten Shanmuganathan al Arampoo yang mengetuai Platun 6 telah menemui Pangkalan Pengganas Komunis yang baru ditinggalkan. Penemuan sekumpulan Pengganas Komunis ini telah menaikkan semangat beliau untuk terus melakukan serangan pantas namun beliau telah terkorban bersama anggotanya yang cuba menyelamatkannya dari serangan pihak musuh.

Seterusnya imbas kembali situasi berlaku di negara Seirra Leone, 17 April 2000 merupakan permulaan bagi proses perlucutan senjata puak pemberontak. Secara rasminya ia telah dimulakan di wilayah Makeni, Magburaka, Moyamba dan Kailahun.

Di Makeni sebuah Kem Demobilisasi telah diwujudkan di mana 1 platun Pasukan Pengaman PBB dari Kenya berkekuatan 20 anggota telah ditugaskan untuk mentadbir seterusnya mengendalikan proses pelucutan senjata dan demobilisasi puak pemberontak RUF.

Proses perlucutan senjata dan demobilisasi yang telah dipersetujui oleh pihak tertinggi kerajaan dan ketua tertinggi pemberontak RUF rupa-rupanya tidak disenangi oleh ketua puak pemberontak di Makeni. Sungguhpun begitu terdapat segelintir anggota RUF yang bersedia untuk menyerahkan senjata mereka.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati ketua mereka dan situasi ini menjadi titik permulaan detik hitam dalam misi UNAMSIL yang melibatkan Mej Ganase dan rakan-rakannya yang lain.

Beliau bersama beberapa pegawai pemerhati PBB telah menjadi tahanan para pemberontak selama 21 hari ketika melaksanakan tugas bagi proses perlucutan senjata dan demobilisasi puak pemberontak RUF. Semasa dalam tahanan nyawa beliau dan rakan-rakannya ibarat telur di hujung. Kisah ini disiarkan menerusi tajuk “Satu Pengorbanan”.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Program Menarik Media Prima Sempena 31 Ogos

Filem TEMUAN TAKDIR Dapat Sokongan DiRaja