Pelakon dan usahawan terkenal, Mustaqim Bahadon akur dengan kesilapannya selepas dikompaun pihak berkuasa gara-gara menanggalkan topeng pelitup muka di tempat awam. Menurut Mustaqim, insiden tersebut berlaku beberapa hari lalu ketika dia dikatakan ingin menghisap rokok elektronik di hadapan kedai gunting rambut miliknya. Semasa kejadian dia bersendirian di kawasan parkir motosikal berhadapan kedai gunting rambut miliknya yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Hangpa semua janganlah tanggalkan mask walaupun sekejap. Saya baru kena kelmarin depan kedai saya. Dua langkah je depan kedai saya dok berasap.
“Torkono RM1,000. #Janganambilmudah. Tapi tulah, macam mana nak berasap kalau pakai mask kan?,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan Mustaqim menerusi entri yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
“Petang itu saya minta pekerja guntingkan rambut, sementara nak tunggu tukang gunting sediakan peralatan, saya keluar sekejap untuk menghisap rokok elektronik di kawasan parkir motor, betul-betul hadapan kedai saya.
“Tak sampai seminit, saya disapa oleh pihak berkuasa dan mereka nyatakan saya langgar SOP kerana tak pakai mask, terus mereka beri kompaun… dah kena denda RM1,000.
“Semasa itu saya seorang diri, tiada sesiapa bersama saya… ingatkan boleh tanggal sekejap tapi rupa-rupanya itu satu kesalahan,”
Tidak menyalahkan mana-mana pihak, pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu berharap agar kisahnya dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar sana supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Saya mengaku salah saya. Anda semua, jaga S.O.P. Jangan ambik mudah. Walaupun anda berseorangan, anda wajib pakai mask walaupun di kawasan kedai anda sendiri.
“Jangan jadi macam saya dan saya silap sebab tanggalkan mask sekejap. Marahlah saya,” kongsinya di ruangan kapsyen.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen berharap perkara tersebut dapat menjadi pengajaran selain turut memberi nasihat agar Mustaqim berhenti daripada terus merokok.
“Saya terima dengan hati terbuka sebab memang salah saya tanggal mask walaupun tempat tiada orang. Saya tak salahkan pihak berkuasa sebab memang salah saya sendiri.
“Selama ini saya memang ikut SOP, mask tak pernah tinggal cuma semasa kejadian nasib tak baik, tanggal sekejap sebab nak hisap vape… tapi apa saya buat itu salah di kawasan awam!
“Saya nak ingatkan semua orang supaya pakai mask, jangan sesekali tanggalkan kalau berada di luar rumah.
“Saya dah terkena jadi orang lain pun kena ambil mesej ini supaya tak jadi macam saya… jangan fikir bila kita seorang diri, kita dah betul dan tak perlu ikut SOP.
“Takut nanti melayang RM1,000, banyak juga tu… dalam keadaan sekarang ni macam-macam kita boleh buat dengan duit tu. Ambillah ia sebagai pengajaran,”
Terdahulu, Mustaqim kini dilihat sibuk mempromosikan drama terbarunya berjudul Cinta Sekali Lagi yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 pada jam 7.00 petang.
Selain Mustaqim, drama ini turut dilakonkan pelakon-pelakon lain antaranya Saharul Ridzwan, Nelydia Senrose, Hannah Delisha dan ramai lagi.
Sumber: Instagram Mustaqim Bahadon