in

Travelog GANJIL YANG INDAH Jejak Keunikan Pekan Kecil Di Malaysia

Travelog “Ganjil Yang Indah” Jejak Keunikan Pekan Kecil Di Malaysia di TV1

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah lagi program travelog baharu bertajuk “Ganjil Yang Indah” berkonsepkan pengembaraan santai sekumpulan remaja bandar ke perkampungan dan pekan kecil di Malaysia. Menariknya travelog 13 episod ini mencari dan menyelami kepelikan yang sebenarnya indah di sesebuah tempat. Bersiaran setiap Rabu mulai 11 April, pukul 9.00 malam di saluran TV1.

Roax Tan tekun belajar membuat rangka wau

Bersama pengacara Eyra Hazali, Roax Tan dan Kameesha menjelajah untuk mencari nama pelik, sejarah serta cara hidup yang unik dan keindahan di kampung dan pekan kecil di Malaysia. Episod pengenalan membawa penonton menjelajah ke Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam, Selangor untuk memahami sejarah yang melebihi 100 tahun. Di sana, mereka pelajari cara menternak kambing dan cara menyusunya. Seterusnya mereka ke ladang kelapa mempelajari cara menghasilkan kelapa dan cara mengopek kulitnya. Mereka turut memasak dan menikmati keunikan nasi ambeng.

Masih lagi di Selangor, penonton diperkenalkan dengan Kampung Sungai Kelambu, Banting. Sejarah kampung ini sudah melebihi 72 tahun lamanya. Mereka belajar cara menternak ayam kampung dan juga pembuatan kerusi menggunakan kayu palet. Kemudian mereka munuju ke Projek Tanaman Orkid mempelajari tanaman orkid dan pengurusannya. Turut dipaparkan cara membuat kuih tradisional seperti baulu, kerepek, rempeyek dan kuih bakar. Mereka bersama ketua kampung dan penduduknya menikmati keunikan masakan ayam kampung.

Eyra dan Kameesha menganyam tikar mengkuang

Episod seterusnya mereka menjelajah ke selatan tanah air iaitu Mukim Minyak Beku, Batu Pahat, Johor. Mereka singgah di Perigi Batu Pahat untuk menyelami sejarahnya. Kali ini mereka mempelajari proses pembuatan dan bermain gambus. Seterusnya mereka bergotong royong menanam bunga bersama penduduk Kg. Parit Kaseh, belajar membuat kuih timbus dan memasak serta menikmati keunikan masakan belangkas. Mereka turut menyaksikan persembahan Tarian Kuda Kepang dan mempelajari permainan gasing.

Istimewa kunjungan di Negeri Sembilan pula memperkenalkan Kampung Godang, Jelebu dan juga Kampung Bongek, Rembau. Di Kampung Godang, penonton dibawa melawat Rumah Waris D’Hilir. Mereka turut mempelajari cara menanam sawi dan menjala ikan tawar. Di kampung Bongek, rembau pula mereka melawat Muzium Rembau untuk memahami tentang Batu Kasur, Batu Batikam dan alat perkahwinan berdasarkan Adat Perpatih.

Penjelajahan di selatan tanah air berakhir di Melaka. Mereka singgah di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah. Mereka melawat ke ladang cendawan dan seterusnya menaiki bot ke kuala untuk menjala ikan, udang galah dan menangkap ular serta melihat binatang liar. Mereka juga berpeluang mempelajari cara bermain gasing perkasa.

Manakala di pantai timur pula, mereka singgah di Kampung Pulau Pasir Mandi, Temerloh, Pahang. Menariknya di sini mereka melawat ke Rumah Tradisional Pahang yang tidak mempunyai paku serta melawat sangkar ikan patin dan tilapia, memberi makanan dan menangkap ikan patin. Mereka juga sempat belajar cara memasak makanan terkenal di Temerloh iaitu patin tempoyak.

Sementara di Pahang, penonton turut dibawa ke Felda Kampung New Zealand, Maran. Mereka berkesempatan mempelajari cara memasak labu dan juga hiasan tembikai. Selain itu, mereka juga diajar proses membuat madu kelulut serta bermain takraw dan bola jaring bersama penduduk kampung.

Episod seterusnya bakal membawa penonton menerokai banyak lagi tempat-tempat menarik yang pastinya memberi pelbagai info menarik. Saksikan traveog menarik ini hanya di saluran TV1.

Eyra dan Kameesha belajar menganyam atap nipah

Eyra dan Kameesha belajar cara ukiran kayu

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dilema Orang Ketiga dalam CINTA NASI AMBENG 2

Hanis Zalikha Akhirnya Dedah Punca Tidak Keluar Mengundi