Pasti ramai tidak sabar untuk menyaksikan gandingan mantap Ain Edruce dan Kamal Adli sebagai pengacara baharu Lagu Cinta Kita Musim Ketiga (LCK3) yang akan disiarkan pada hari Ahad, 31 Oktober pada pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam di TV3.
Kedua-dua pengacara popular ini juga merupakan finalis kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 34 dan akan menerajui program realiti Lagu Cinta Kita Musim Ketiga dengan cara, pendekatan dan kreativiti tersendiri untuk 8 episod ini. Ini merupakan gandingan pertama mereka di atas pentas dan tentunya membuatkan penonton tidak kering gusi menyaksikan gelagat ceria dan spontan mereka!
Setiap musim Lagu Cinta Kita, penonton akan dihiburkan dengan pasangan pengacara yang berlainan. Ini kerana pihak produksi ingin menyuntik elemen baharu yang berbeza dalam setiap musim menerusi pasangan pengacara yang dipilih dan pemilihan juga berlandaskan kepada kebolehan setiap pengacara. Ia sangat penting kerana pengacara yang dipilih ini juga akan digandingkan buat pertama kalinya bersama. Penelitian dibuat untuk memastikan pengacara yang dipilih dapat mengendalikan program yang disiarkan secara langsung selama 1 ½ jam ini dengan lancar.
Gelagat Ain Edruce dan Kamal Adli yang mempunyai perwatakan ceria dan suka berjenaka sahaja sudah membuatkan kita tidak sabar untuk menunggu Ahad ini. Ain Edruce yang pernah menjadi pengacara MBuzz, pengalaman luas dalam bidang pengacaraan, lakonan dan peragaan sudah cukup untuk beliau melayakkan diri untuk bergandingan dengan Kamal Adli. Begitu juga dengan Kamal Adli mempunyai pengalaman luas sebagai seorang pelakon, peragawan, pengacara dan pelawak merupakan tiket untuk Kamal memberikan yang terbaik kepada penonton.
Ditambahkan pula dengan kehadiran juri tetap berpengalaman dan terkenal tanah air iaitu Ajai dan Mas Idayu, pastinya Lagu Cinta Kita Musim Ketiga kali ini menjadi semakin gamat. Gelagat kedua-dua juri ini sahaja sudah membuatkan penonton tidak sabar “pergaduhan” apa yang bakal berlaku di setiap episod.
Lebih mengujakan, program ini dilihat berjaya membuka peluang kepada mereka yang ingin mencapai impian dalam bidang seni tanah air. Penyertaan secara online untuk musim ini sahaja telah mencecah lebih daripada satu ribu penyertaan diterima dan hanya 20 peserta terpilih untuk mewarnai Lagu Cinta Kita Musim Ketiga ini. Ini bermakna 10 pasangan akan berentap di pentas Lagu Cinta Kita Musim Ketiga nanti.
Ramai peserta Lagu Cinta Kita Musim Ketiga telah berjaya mencari haluan masing-masing dan ada juga yang telah mendirikan rumah tangga bak kata pepatah “dari mata jatuh ke hati”. Pasangan yang membina masjid menerusi Lagu Cinta Kita Musim Pertama adalah Naqi dan Ayuni serta Erul dan Naufa.
Lagu Cinta Kita Musim Kedua juga menyaksikan beberapa finalis berjaya melahirkan single pertama mereka menerusi Alternate Records & Talents seperti Nadeera Zaini dengan single pertamanya berjudul “Panah” dan menjadi runut bunyi bagi drama slot Akasia, Kisah Cinta Kita, Kael dengan single terbaharunya berjudul “Cinta Jatuh” yang menjadi runut bunyi untuk slot Akasia Mr. Bibik dan terbaharu Ahmad Adly dan Ahmad Shafiq berlakon dalam filen Dendam Penunggu di tonton Cinema.
Lagu Cinta Kita Musim Ketiga diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Shazreena Binti Mohd Kassim sebagai penerbit eksekutif dan Muhammad Saiful Bin Saharudin sebagai penerbit.
Siapakah para peserta Lagu Cinta Kita Musim Ketiga kali ini dan adakah mereka berjaya mencari keserasian di dengan pasangan yang akan diperkenalkan nanti? Kita tunggu dan lihat reaksi mereka dan juga keletah dua pengacara ceria Ain Edruce dan Kamal Adli serta dua juri tetap iaitu Ajai dan Mas Idayu hanya menerusi Lagu Cinta Kita Musim Ketiga, Ahad ini, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam hanya di TV3.