Lelaki Amuk Pedang Samurai Di JPM Dakwa Dia Imam Mahadi. Pada jam 2.30 petang Isnin lalu, lelaki itu yang dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47, yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Imam Mahadi’ telah mati ditembak polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan Kompleks B, JPM.
Gambar & Video Lelaki Amuk Di JPM
KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditembak mati di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam mungkin mengalami gangguan mental atau ‘oppositional conduct disorder’, iaitu kecenderungan untuk membantah dan memberontak dalam apa jua keadaan.
Pakar Perunding Psikologi Utama, International Psychology Centre Sdn Bhd, Dr Edward Chan ketika memberikan pandangannya itu berkata, dengan kata lain seseorang itu mungkin mengalami kecelaruan minda. “Berdasarkan pemerhatian saya melalui blog lelaki itu, saya dapati bahawa dia mempunyai perasaan curiga, sinis dan tidak rasional terhadap sesuatu perkara,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya, lelaki tersebut juga berkemungkinan mengalami gangguan mental sejak kecil lagi atau tidak mendapat nutrisi pemakanan yang seimbang dan juga kesan daripada pengambilan dadah.
“Selalunya individu yang mengalami gangguan ini akan bersifat murung, cepat marah dan panas baran yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam kerana mereka akan bertindak di luar kawalan,” katanya.
Chan berkata sehubungan itu, sokongan moral dari keluarga dan rakan-rakan amat penting bagi mengelakkan individu tersebut bertindak di luar kawalan.
“Bila ada sokongan dari orang-orang yang rapat dengan mereka ini, sekurang-kurangnya mereka (kawan-kawan) dapat mengenalpasti gangguan yang dialami individu tersebut di peringkat awal lagi. Bila dah dapat ‘early detection’, macam murung dan sebagainya, mereka (kawan-kawan) boleh merujuk individu tersebut kepada pihak profesional untuk rawatan dan bantuan dari aspek psikologi macam kaunseling dan sebagainya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, lelaki itu yang dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47, yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Imam Mahadi’ mati ditembak polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan Kompleks B, JPM.
Suspek wanita berusia 28 tahun itu, terkena tembakan di bahagian paha kanan dan dirawat di Hospital Putrajaya.
Sementara itu, Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim mencadangkan agar setiap anggota polis termasuk polis bantuan dan sukarelawan dibekalkan dengan skim insurans memandangkan mereka sentiasa berdepan dengan risiko bahaya. – BERNAMA