SEPULUH peminat bertuah penyanyi wanita terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akan menikmati percutian selama lima hari bersama beliau di Sydney, Australia pada bulan Jun yang lalu.
Mereka ialah Rosnani Said Fikri (Selangor); Siti Khadijah Thaha (Selangor); Noorhanis Mohd Nazir (Pulau Pinang); Norhaida Mohd Taib (Selangor); Rosmawati Ramli (Terengganu); Norkhaniza Jumani (Johor); Noorlia Mat Noon (Pulau Pinang); Intan Rabizah Noor Buddy (Perak); Nazrul Iszaidy Ismail (Kedah) dan Saiful Azairul Zahari (Selangor).
Kesemua mereka memenangi percutian hasil pertandingan yang dianjurkan oleh SimplySiti Sdn Bhd, syarikat produk kecantikan milik penyanyi tersohor itu.
Siti Nurhaliza berkata, pelbagai aktiviti menarik akan dilakukan bersama mereka sepanjang percutian itu yang mendapat kerjasama daripada SimplySiti, AirAsia X dan Tourism Australia.
“Saya berasa sangat gembira kerana ini kali pertama saya akan bercuti bersama peminat-peminat saya dan antara tempat-tempat menarik akan kami lawati sepanjang berada di sana ialah Sydney Harbour, Paddington, Bondi Beach, Darling Harbour, Blue Mountains dan banyak lagi,”
Beliau berkata, hampir 2,000 penyertaan diterima dari seluruh Malaysia dan hanya 10 pemenang dipilih berdasarkan slogan terbaik, menarik serta paling kreatif.
Sementara itu, Noorlia, 32, berkata dia tidak menjangka menjadi seorang daripada pemenang kerana penyertaannya dihantar pada saat-saat akhir.
“Ini merupakan peraduan pertama yang saya menangi sepanjang hidup saya, dan saya tak sangka sangat akan mendapat peluang seperti ini,” katanya.
Rosmawati, 35, seorang petugas di Petronas, berasa sangat gembira dan tidak menyangka menjadi antara pemenang yang akan bercuti bersama artis Malaysia itu yang pernah membuat persembahan di Royal Albert Hall, London.
Nazrul Iszaidy, 25, seorang daripada dua peminat lelaki penyanyi itu yang menang, berasa sangat teruja dapat bercuti bersama artis pujaannya. – Bernama