Gambar Sekitar Sidang Media Jejak Jepun Bersama Zizan
Tuah badan. Dikelilingi gadis-gadis comel ala karakter anime seperti dalam komik manga. Tak cukup dengan itu dia dilayan bagaikan raja. Itu pengalaman menarik yang dilalui Zizan Razak ketika berkunjung ke Maid Cafe di Tokyo Jepun sekitar Julai lalu. Untung lah…
Tapi jangan fikir yang bukan-bukan. Bukan Zizan sengaja mencari gadis-gadis tersebut jauh sekali mahu dilayan sebegitu. Tetapi itu cara biasa yang dipraktik oleh pelayan-pelayan kafe berkenaan bagi melayani setiap pelanggan yang datang.
“Kebanyakan pelanggan yang datang ke kafe tu dikunjungi oleh penggemar anime. Pelayan-pelayan di situ berpakaian seperti watak dalam anime. Dan kita boleh pilih gadis-gadis mana yang kita inginkan.
“Mulanya saya terkejut dan berasa pelik bila dilayan dengan baik sekali. Rupanya memang itu cara mereka. Misalnya cara mereka bercakap penuh sopan santun. Kalau nak makan atau minum, mereka layan kita. Buat kita rasa dekat dengan mereka walaupun pertama kali saya datang ke situ”, kata Zizan menceritakan pengalamannya ketika ditemui di sidang media program Jejak Jepun Bersama Zizan, di Restoran Komura, Hotel Corus Kuala Lumpur, semalam.
Tidak hanya memori di Maid Cafe, Zizan juga menimba banyak pengalaman mengujakan sepanjang menggembara selama dua minggu di sana. Dan segala perasaan, pengalaman, gelagat lucu dan keletah pelawak popular ini dirakam dan akan dipapar menerusi program travelogue santai itu.
“Sejak kecil lagi saya memang mengimpikan untuk ke Jepun. Saya memang suka dengan apa saja yang berkaitan dengan negara Jepun. Saya suka dengan fesyen, kereta-kereta buatannya juga kecanggihan teknologinya.
“Saya cukup teruja dapat menjejakkan kaki ke sana. Selain dapat melihat negara orang, pengalaman sepanjang berada di sana membuka mata dan minda saya mengenai budaya, gaya hidup dan tahap kemodenannya.
“Walaupun penduduknya tidak fasih berbahasa Inggeris, tapi mereka bersungguh-sungguh mahu membantu sekiranya kami memerlukan bantuan atau sesat”, kata Zizan yang cukup mengagumi sikap tata terbit serta disiplin orang-orang di negara matahari terbit itu.
Selain Tokyo, enam lagi tempat yang sempat dikunjungi seperti Osaka, Kobe, Wakayama, Kyoto, Shirahama dan Yokohama. Berbeza dengan program travelogue lain, menariknya ada beberapa misi-misi yang perlu dilaksanakan Zizan.
Ikuti pengalaman menakjubkan figura kesayangan ramai ni yang berpeluang meneroka pelbagai destinasi dan aktiviti yang dilakukan Zizan seperti melihat orang main sumo, jadi ninja, melawat tempat-tempat bersejarah, melawat kedai jeans kegemarannya iaitu Evisu dan banyak lagi dalam Jejak Jepun Bersama Zizan.
Program enam episod ni bakal ditayangkan di Astro Prima menerusi saluran 105 pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam bermula 12 September ini.