Sejak memegang gelaran ibu tunggal, nama Nabila Huda sering kali dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.
Terbaru, penampilannya dalam Anugerah Blokbuster menjadi perbualan hangat apabila tampil dengan gaun hitam rekaan Alia Bastamam yang mendedahkan bahagian perut dan peha.
Seperti bintang Hollywood, Nabila, 28, berjaya mencuri tumpuan penonton walaupun tidak mengikut tema majlis ‘colour blocking’.
Dua hari selepas majlis itu diadakan, pelbagai respons serta reaksi yang diterima daripada peminat mengenai penampilan seksi Nabila yang rata-ratanya mengkritik penampilannya.
Situasi itu turut dirasai bapanya, Amy yang ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, “Memang saya tidak bersetuju dengan penampilannya pada malam itu.”
“Bagi saya ‘designer’ pun perlu tahu jenis pakaian yang direkanya serta dia (Nabila) sendiri perlu tahu apa yang dipakainya itu. Banyak lagi baju rekaan cantik yang boleh dipakai dan saya percaya dia sudah cukup dewasa untuk mengetahui serta berfikir dengan lanjut mengenai perkara itu,” katanya yang turut membuat persembahan dengan mendendangkan tiga lagu pada majlis anugerah itu.
Amy turut berkata, “sekarang hasil kerja dan lakonan dia sudah semakin bagus.”
“Seharusnya dia menjaga penampilan dan imejnya, jangan sampai memberi peluang dan ruang untuk orang mengata, menghentam atau jatuhkan dia,” katanya lagi.
Nabila yang dihubungi Sinar Harian Online untuk mendapatkan komen belum berhasil.
Bagaimanapun tinjauan ke atas akaun Twitter mendapati, walaupun penampilannya dikritik, Nabila atau lebih dikenali sebagai Abil tampak tidak terganggu.
Sebaliknya dia berseloroh bahawa gaun tersebut ditaja.
Menjawab pengikut Twitternya, yang mengatakan pakaiannya kelmarin sebagai ‘seksa’, seolah-olah menyifatkannya sebagai seksi, Nabila membalas: “Hahahaha! Seksa ke? Sponsor tu.. muah kepada anda berdua”.
Semasa menyampaikan anugerah bersama rakan penyampai, Zahiril Adzim, bahagian perut Nabila yang terdedah telah diliputi oleh kain lain yang seakan sama warna dengan gaunnya itu.
Nabila yang berkahwin dengan Zaidi Zailani bercerai tahun lalu.
NABILA MINTA MAAF
NABILA Huda yang mencetuskan kontroversi dengan penampilan gaun hitam seksi pada majlis Anugerah Blokbuster Sabtu lalu, meminta maaf kepada peminatnya jika tindakannya itu menyinggung mana-mana pihak.
“Saya tidak faham kenapa benda ini boleh jadi isu kerana jika hendak dibandingkan dengan artis zaman dulu, penampilan mereka adalah lebih berani daripada saya.
“Tetapi saya tidak mahu panjangkan isu ini dan saya minta maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung dengan penampilan saya pada majlis anugerah itu dan selepas ini saya tidak mahu memberi sebarang komen lagi mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Penampilan Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi, 28, mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk ayahnya sendiri, penyanyi rock terkenal, Amy Search.
Menjawab mengenai pemakaian ‘tube’ ketika dirinya menyampaikan anugerah bersama rakan penyampai, Zahiril Adzim, Nabila berkata, “mengenai pemakaian ‘tube’ itu saya sendiri yang nak pakai, bukan pihak Astro yang suruh.”
“Yalah sebab masuk TV kan dan memang saya nak cover bahagian perut itu.
“Saya cari tube itu semasa berada di belakang pentas dan memang saya pakai tube itu atas kemahuan saya sendiri,” katanya yang kini sibuk menghabiskan penggambaran drama bersiri Julia yang kini sedang ditayangkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis jam 7 petang.