in ,

Gambar Sekitar Sidang Media Sambutan HUJAN 10 Tahun

Bukan mudah untuk satu-satu kumpulan mengekalkan momentum mereka, apatah lagi selama 10 tahun. Satu dekad bukan satu jangka masa yang singkat, namun band Hujan masih mampu mengekalkan kegemilangan mereka seperti mana di awal kemunculan mereka dahulu. Dalam menghargai peminat yang sekian lama menyokong aktiviti seni mereka, Hujantelah menghadiahkan satu konsert ulang tahun ke-10 khas buat anda yang tidak jemu-jemu menyokong karier seni Hujan yang dianggotai oleh Noh Salleh, AG Coco, Izzat Uzaini dan Azham Ahmad.

Satu dekad meniti perjalanan dalam industri muzik tanah air, kumpulan HUJAN yang dianggotai oleh Noh Salleh, AG Coco, Izzat Uzaini dan Azham Ahmad terus berdiri utuh dalam memperjuangkan genre muzik alternatif. Walaubagaimanapun, bukan mudah untuk sesebuah band bertahan selama 10 tahun dan kumpulan ini mengakui terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan untuk terus mengekalkan empayar mereka.

“Secara jujur, saya sendiri tidak pernah menjangkakan HUJAN akan berada di arus muzik perdana dan mampu bertahan selama 10 tahun. Perkara ini sangat istimewa dan kami bersyukur kerana disokong keluarga, kawan-kawan dan juga Raingers,” tutur vokalis HUJAN, Noh ketika ditemui pada sidang media #hujan10tahun di Restoran Kulcats Barrio, TTDI baru-baru ini.

“Orang hanya tahu zaman sukses kami, mereka tidak tahu pun apa yang kami lalui untuk sampai ke tahap ini. Kami dah melalui pelbagai perkara, antaranya pernah kena tipu, dihentam oleh media dan juga keluarga sendiri. Saya ingat lagi ketika album pertama kami, saya hanya memakai selipar dan menaiki bas serta tren untuk ke tempat show.

“Peminat juga tidak tahu yang kami hanya dapat makan roti canai sekali seminggu. Kami juga pernah masuk hotel dan kena keluar balik kerana penganjur tidak bayar bilik. Mereka juga tidak tahu ketika bersama HUJAN, saya pernah membawa van untuk menghantar hamper dan telur. Bagi saya, tidak ada jalan mudah untuk berjaya dan walaupun sukar, namun pengalaman itu sesuatu yang menyeronokkan dan membuatkan kita terus menghargai kehidupan kita.”

Bermula dari tahun 2005 menerusi perkenalan di laman sosial MySpace, HUJAN kini sudah menghasilkan beberapa buah album, antaranya ‘1, 2, 3 GO?’, ‘Check Check Rock Rock’, ‘Mencari Konklusi’, ‘Lonely Soldier Boy’ dan ‘Sang Enemy’. Dalam tempoh sedekad, HUJAN juga turut mencipta beberapa kejayaan, antaranya menjuarai pertandingan realiti Versus 2012, memenangi Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 19 serta menjadi band pertama yang membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun 2013.

Bukan itu sahaja, kehadiran kumpulan HUJAN juga ternyata memberi satu fenomena baru dalam industri muzik tanah air apabila membuka peluang kepada pejuang indie muzik dalam meluaskan karya seni mereka. Boleh dikatakan, kewujudan indie bands dalam arus muzik perdana ibarat cendawan tumbuh selepas ‘Hujan’. Namun, tidak semuanya terus kekal seperti HUJAN. Ditanya apa resepi kejayaan mereka untuk terus bertahan dalam industri muzik, ini jawapannya.

“Saya rasa perkara paling penting yang perlu ada dalam sesebuah kumpulan adalah bersabar. Selain itu, kita juga kena jadi diri sendiri, jangan aniaya orang, jaga solat lima waktu dan hormat orang tua. Kami pernah juga banyak kali disapa oleh band baru yang bertanya bagaimana nak popular macam band kami. Kemudian saya tanya balik, nawaitu mereka nak popular atau nak sukses seperti HUJAN? Kami juga beritahu bahawa mereka kena ikhlas memperjuangkan muzik dan sanggup untuk susah.

“Bagi kami, band baru ini dah selesa dan banyak bergantung kepada media sosial. Kalau dulu, kami pergi sendiri ke stesen radio untuk menghantar lagu kami. Biarpun lagu kami pernah ditolak oleh radio kononnya kerana tidak ada kualiti dan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan, namun kami tidak pernah putus asa. Tidak seperti sekarang, kami lihat band muda ini kalau lagu mereka tidak diputarkan di radio, mereka akan meroyan di laman sosial. Bagi saya, mereka kena buang ego dan kalau boleh, kami nak tengok yang baru ini tahu bagaimana susahnya untuk menjadi senang,” ujar Noh mengakhiri perbualan.

Sempena ulangtahun ke-10 HUJAN, kumpulan ini mengumumkan akan mengadakan Konsert #hujan10tahun di KL Live, Life Centre jam 4 petang pada 31 Oktober. Tiket berharga RM53 sudah mula dijual dan boleh didapati secara online menerusi www.galactix.asia/hujan10tahun.

Sumber: Extra Tonton

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Hujan 10 Tahun

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lagu Tema Filem SPECTRE WRITING’S ON THE WALL Sam Smith Dapat Sambutan

Video Kumpulan Salam Cuba Nyanyi Lagu Tamil AZHAGU