Selepas sekian lama mengabdikan diri di belakang tabir, pemilik nama sebenar Mohd Faizal Maas ini kembali dengan single terbaru, Aduh. Bagaimanapun, ramai terkejut lagu itu nyanyian Ajai kerana dilihat cuba meniru lenggok lagu dari Indonesia. Apakah Ajai mahu menambat hati pendengar yang mudah menerima lagu-lagu dari Wali Band dan Tegar? Ajai menafikan single terbarunya itu meniru lagu Indonesia.
Katanya, ramai tersalah anggap industri kita cuba meniru lenggok lagu dari Indonesia walhal Pop Melayu sudah lama wujud di sini malah dalam setiap karyanya ada elemen itu.
“Siapa kata kita tiru mereka? Kalau kaji sejarah muzik kita, industri kita terlebih dulu menghangatkan Pop Melayu dan mereka jadikan lagu kita sebagai rujukan. Kalau masih ingat, album Exists, Iklim, Search dan Slam jual juta-juta di sana. Jadi siapa tiru siapa? Saya masih kekalkan elemen Pop Melayu dalam setiap karya ciptaan saya.
Bagi saya, semoden mana pun kita dalam lagu kena kekalkan kemelayuan. Menerusi Aduh, saya harap M-Pop (pop Melayu) dapat dihangatkan kembali dalam industri kita dan harap ada lebih banyak karya sebegini selepas ini. Muzik sama seperti fesyen di mana ia sentiasa berputar dan sudah sampai masanya kita angkat M-Pop kerana ia catchy dan bersifat malar segar.”
Ajai akui rindu untuk kembali memeriahkan dunia muzik tanah air dengan suaranya selepas agak lama menyepi.
Malah tahun ini menyaksikan bapa dua anak ini tampil dengan album baru. Selain album Republik Ajai yang menghimpunkan 45 lagu ciptaannya sejak 1988 hingga kini bersama lagu Aduh, Ajai akan fokuskan perhatian untuk pembikinan album 4/4 yang dijangka menemui pendengar tahun depan.
“Memang saya rindu kembali menyanyi. Kalau ikutkan, sejak tiga tahun lepas sudah terfikir untuk rakam lagu baru tetapi ketika itu saya belum bertemu konsep serta material sesuai.
“Sebagai komposer, saya banyak hasilkan lagu untuk penyanyi lain dan kalau boleh untuk lagu sendiri biarlah berbeza daripada apa yang pernah saya terbitkan. Pendek cerita saya mahukan kelainan dan banyak buat eksperimen sampailah benar-benar pasti dengan apa yang saya mahu. Seperkara yang saya belajar, tidak semestinya lama berada dalam industri kita tahu apa yang kita nak. Kena ambil kira juga selera pendengar. Dua bulan lalu terhasillah Aduh dan proses pembikinannya ambil masa 45 minit. Kalau ikutkan ada beberapa single tetapi Aduh paling dekat dengan hati saya. Saya yakin lagu ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk kembali mengangkat irama pop Melayu yang pernah jadi fenomena hingga jadi ikutan industri muzik negara jiran.”
Kata Ajai, 2014 menyaksikan kebangkitan semula dirinya dengan menjayakan lebih banyak persembahan pentas. Percubaan ‘melepaskan geram’ di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik baru-baru ini membakar semangatnya mempercepatkan pelaksanaan hasrat itu.
Justeru dengan adanya single Aduh yang menghiasi kompilasi Republik Ajai dan album solo 4/4, dia bebas menghiburkan pengikut setianya dengan rangkaian lagu baru. Katanya, setiap kali lihat ramai penyanyi nyanyikan lagu ciptaannya, perasaan untuk kembali beraksi di pentas datang membuak-buak. Hasrat itu kesampaian apabila Ajai dan empat lagi rakan komposer, Edry Abd Halim, Edry Hashim, Pacai dan Aidit Alfian diundang menjayakan persembahan ketika Separuh Akhir Muzik Muzik.
“Seronok pula bila bergabung beraksi di bawah band YB. Hasil perbincangan serius antara saya dan Edry, kemungkinan YB akan hasilkan album. Kami akan buat rakaman secara langsung dan masing-masing dapat ubat kerinduan yang terbuku sekian lama. Selama ini kami hasilkan lagu untuk orang, teringin juga ada karya koleksi sendiri. “Saya juga akan lebih kerap menerima undangan persembahan memandangkan ada album baru tidak lama lagi.”
Mengenai kemunculan ramai komposer dan ada antara mereka penyanyi, Ajai melihat ia sebagai fenomena positif buat industri. Kehadiran wajah baru ini tidak menggugat periuk nasi komposer sedia ada kerana lebih ramai pencipta lagu maka makin meriah industri. Katanya, harus diingat bukan semua boleh jadi penyanyi, komposer dan penerbit. Kelebihan itu tidak datang serentak dan ia perlukan sokongan ilmu serta pengalaman.
“Saya suka lihat kemunculan komposer muda. Lebih ramai lebih bagus. Kita perlu ingat era muzik sentiasa bertukar dan dengan adanya mereka maka ada warna baru dalam industri muzik tanah air. Pun begitu, ada juga segelintir yang terlalu ghairah di mana mereka memilih untuk menyanyikan lagu sendiri walhal mereka perlukan kehadiran komposer sebagai pembimbing. Ada antara mereka terlupa nama mereka naik kerana bimbingan komposer yang pernah bekerjasama dengan mereka dan cuba menghasilkan lagu sendiri tetapi hasilnya tidak sebagus karya sebelumnya.”
“Sepatutnya mereka belajar mantapkan ilmu di dada. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan perkataan komposer untuk naikkan nama. Pun begitu, ramai juga penyanyi dan komposer yang hormat komposer lama. Mereka datang ke studio untuk tengok dan belajar. Kita pun sebagai orang lebih berpengalaman akan kongsi ilmu jika mereka bertanya.”
Dalam arena muzik, tiada istilah raja atau diva. Sebanyak mana pun pengalaman kita, kita masih belajar kerana setiap hari ada saja pembaharuan yang berlaku. Perkara ini bukan saja berlaku dalam negara tetapi juga di seluruh dunia.
“Orang lama pun kena terbuka dan menerima perubahan barulah boleh bertahan dan relevan dengan apa juga era.”
Selain sibuk dengan persiapan album baru baru, 2014 juga menyaksikan Ajai terikat dengan komitmen sebagai juri musim baru program Mentor, Bintang Mencari Bintang dan Vokal Bukan Sekadar Rupa.
Kat bawah ini ada beberapa gambar sekitar pengambaran muzik video lagu ADUH. Layaan!