in ,

Gambar Sekitar Pelancaran Album Baru Adilla – ROCK KERONCONG

ILHAM ROCK KERONCONG ADILLA

Budiey rasa ramai yang tak ingat-ingat lupa dengan nama Adilla Idris atau Adilla. Jangan keliru dengan nama Nas Adilla kerana kedua-duanya adalah personaliti yang berbeza. Beliau sebenarnya merupakan penyanyi yang pernah mencipta nama dalam industri muzik tempatan. Namanya pernah menjadi sebutan ramai kerana bakat nyanyian yang diketengahkan dan suara yang dimiliki.

Bertempat di Shah Alam, Adilla telah melancarkan album terbarunya berjudul ROCK KERONCONG pada 11 Februari 2010 yang lalu.

Lapan tahun tanpa sebarang rakaman yang mempopularkan namanya, penyanyi kelahiran Johor Bahru ini tampil membuat kemunculan kembali menerusi album baru berjudul “Rock Keroncong”.

Berbeza dengan album-albumnya yang terdahulu, “Rock Keroncong” menjanjikan kelainan dan pembaharuan kerana ia mengetengahkan barisan lagu rock yang disusun dan disampaikan dalam alunan keroncong.

Menurut Adilla, lagu-lagu yang diketengahkan merupakan lagu-lagu rock popular yang digubah semula dan disampaikan dalam nyanyian keroncong. Tapi, ditata dan dipersembahkan dalam bentuk yang moden dan segar. Lagu-lagu tersebut berunsurkan kontemporari dan sesuai didengar oleh semua peringkat umur.

“Orang kata, keroncong ini muzik untuk orang tua-tua. Dengan adanya album ini, orang muda pun dapat menikmatinya sebab kebanyakan daripadanya adalah lagu rock yang diminati ramai. Lagipun, belum ada orang yang buat album sebegini di negara kita ini,” tambahnya.

Percubaan Adilla menggabungkan rock dan keroncong bukan sahaja bertujuan menampilkan kelainan dan pembaharuan. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk meneruskan nama dan kariernya sebagai penyanyi yang cenderung mengalunkan irama keroncong.

“Sebelum ini, ramai orang tahu saya menyanyikan lagu-lagu keroncong. Kalau ada persembahan, saya memang kerap menyanyikan lagu-lagu keroncong. Jadi, untuk meneruskannya saya ambil inisiatif keluarkan album ini. Saya buat album ini bukan untuk glamor. Tujuannya untuk ketengahkan bakat, tampilkan kelainan, melakukan pembaharuan, menambah warna muzik dan kekalkan nama sebagai penyanyi dalam industri,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, selain dari mencipta kelainan dan menambah warna, album ini juga dihasilkan untuk memberi pilihan pada generasi dewasa, terutamanya yang meminati irama keroncong kerana industri muzik hari ini lebih memberi pilihan hiburan pada golongan muda.

Di samping itu, permintaan peminatnya yang sering menanyakan tentang album baru juga menyebabkan Adilla rasa terpanggil untuk menghasilkan album baru setelah kali terakhir tampil dengan album pada 2002.
Adilla yang menjadikan Hetty Koes Endang dan Dato’ Yusni Hamid sebagai idolanya berharap, kehadiran “Rock Keroncong” ini akan diterima ramai, sekali gus membantu meletakkan namanya sebagai penyanyi fusion keroncong.

“Rock Keroncong” menampilkan tujuh buah lagu berentak rock keroncong. Lima daripadanya adalah hits era 80 dan 90an yang pernah menggegarkan industri muzik suatu masa dulu dan masih lagi diminati ramai.

Manakala, selebihnya pula adalah lagu baru yang akan membantu Adilla memartabatkan irama keroncong yang begitu diminatinya.

LATAR BELAKANG
Adilla memulakan karier nyanyian sekitar 90an. Namanya dikenali ramai menerusi “Medley Popular 94” yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman Suara Cipta Sempurna (SCS). Biarpun sekadar menyanyikan semula barisan hits popular artis lain, namun kredibilitinya sebagai penyanyi tetap diiktiraf dan mendapat perhatian dalam industri.

Kegemilangan nama Adilla dilihat meningkat naik pada pertengahan era 90an. Dirinya pernah mendapat liputan yang meluas dari media setelah terpilih sebagai finalis “Juara Lagu 94” dan “Juara Lagu 96”. Walaupun gagal mendapatkan sebarang kemenangan namun pencalonan tersebut sedikit sebanyak berjaya meletakkan namanya setanding dengan penyanyi-penyanyi popular lain yang ada pada ketika itu.

Sejarah nyanyian Adilla tidak bermula di mana-mana rancangan atau pertandingan nyanyian. Sebaliknya, kehadiran Adilla diketengahkan oleh abangnya, Jari – komposer yang menonjol dan mempunyai nama yang besar pada era 90an.

Bermula dengan mengikuti ayahnya ke majlis persembahan muzik, Adilla diajar pula oleh ayahnya tentang selok-belok ilmu nyanyian sebelum diberi kepercayaan melakukan persembahan dan mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian di sekitar Johor Bahru.

Tamat sahaja persekolahan, dia terus dibawa oleh Jari ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan dan mengetengahkan bakat nyanyiannya. Nasibnya baik, Adilla telah dilamar oleh SCS, sekali gus mengikatnya sebagai artis rakaman.

Sungguhpun diajar dengan pelbagai jenis genre muzik, namun kesesuaian suara dan minat yang mendalam terhadap keroncong telah menyebabkan Adilla memilih dan menyanyikan lagu-lagu dari jenis muzik tersebut.

DISKOGRAFI
“MEDLEY POPULAR 1994” Tahun dikeluarkan: 1994 Terbitan: Suara Cipta Sempurna (SCS)
“PUNCAK YANG SATU” Tahun dikeluarkan: 2002 Terbitan: Sendiri
“ROCK KERONCONG” Tahun dikeluarkan: 2010 Terbitan: Sendiri

KOMPILASI
“5 RATU DALAM PESTA DANGDUT” Tahun dikeluarkan: 1997 Terbitan: Rock Records

PENCAPAIAN TERBAIK DALAM INDUSTRI
“FINALIS JUARA LAGU 1994” Lagu: Bukan Aku Tak Cinta
“FINALIS JUARA LAGU 1996” Lagu: Janji Seorang Kekasih

SENARAI LAGU “ROCK KERONCONG”:

  1. FANTASIA BULAN MADU Lagu: M. Nasir Lirik: M. Nasir Penyanyi asal: Search
  2. PERMAIDANI Lagu: Yusri Yusuf Lirik: Imanzali Penyanyi asal: Aris ariwatan
  3. SRIKANDI CINTAKU Lagu: M. Nasir Lirik: Nasir Jani Penyanyi asal: Bloodshed
  4. BUKAN AKU TAK CINTA Lagu: Rosyid Somantri / Adinda Amiro Lirik: Rosyid Somantri / Adinda Amiro Penyanyi asal: Iklim

KREDIT PRODUKSI
Penerbit Eksekutif Penerbit Gubahan Muzik Studio rakaman Jururakam Juruadun Mastering

Pemuzik Undangan
Cello Cak Cok Gendang Piano Flute Perkusi Latin Gitar
Bass Drum

Kredit Foto: Urusan dan kerja promosi dilakukan oleh Cherry Talent & Management

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Heliza di Majlis Pelancaran Heliza Helmi Productions & Pelancaran Single Baru

Gambar Sabhi Saddi di La Boudoir Fashion Show 2010