Gambar Sekitar Pelancaran Album Akim Ahmad
Pada jam 5 petang semalam, tercatat dalam diari penyanyi dan pelakon Akim Ahmad di mana akhirnya album pertama yang sekian lama ditunggu telah berada di genggaman peminat. Satu pelancaran album Akim Ahmad telah diadakan disaksikan oleh para media, keluarga dan peminat setia Akim Ahmad – Gafimers.
Budiey ucapkan tahniah buat Akim Ahmad atas kelahiran album ini.
Setelah tiga tahun menceburi diri dalam industri seni suara, Akim Ahmad menarik nafas lega apabila albumnya berada di pasaran. Namun, usaha tidak setakat itu kerana Akim kena buat promosi agar album ini mendapat perhatian ramai peminat untuk mendapatkannya.
Album ini mengandungi 10 buah lagu yang mana ada 7 buah lagu baru. Sebagai bonus, Akim Ahmad memberi 3 buah lagunya yang popular sebelum ini dalam bentuk akustik. Paling menarik, 4 daripada 10 buah lagu dalam album ini adalah nukilan dan garapan sepenuhnya oleh pelakon Hooree Hoore ini. Dua buah lagu ditulisnya pula mendapat sentuhan dari komposer terkenal iaitu Audi Mok, Kunci Demak dan Omar K. Lebih manis, Akim turut mengundang dua penyanyi terkenal Stacy dan Fiq untuk bergabung dalam lagu duet.
Kepada peminat, dapatkan album Akim Ahmad di pasaran. Budiey dah pun dengar dan Budiey rasa anda berbaloi untuk mendapat album ini kerana semua lagu best-best.
Semasa sesi bersama media, Akim Ahmad memberitahu hasratnya untuk menamatkan zaman bujangnya empat tahun lagi iaitu ketika mencapai usia 25 tahun kerana beranggapan angka itu paling sesuai untuk dia bergelar seorang suami.
Akim, 21, berkata, buat masa ini dia langsung tidak memikirkan mengenai soal teman wanita kerana ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya selain bekerja bagi mengumpul aset.
“Saya masih muda dan sebagai lelaki pelbagai impian ingin saya realisasikan terlebih dahulu seperti memiliki kereta, rumah dan aset lain. Tambahan pula kerjaya nyanyian saya baru stabil dan saya ingin memberi fokus terhadap perkara itu terlebih dahulu,” ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran album pertamanya berjudul Akim Ahmad di sini, Rabu.
Memperjelaskan hubungannya dengan Stacy, Akim menegaskan hubungan mereka tidak lebih sebagai seorang sahabat. Akim memberitahu dia senang berkawan dengan penyanyi itu dan bekerjasama dengannya.
“Kami tiada sebarang hubungan istimewa dan sekadar sahabat baik. Malah untuk album pertama saya ini kami berduet dalam sebuah lagu bertajuk Kembali dan saya sentiasa senang bekerjasama dengan dia,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai album terbaru itu, Akim melahirkan rasa syukur kerana penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi.
Akim berkata, tidak timbul soal dia perlu menanti lama kerana apa yang lebih penting dia berpuas hati dengan kualiti album yang diterbitkan.
“Saya terlibat secara langsung dalam pembikinan album yang mempunyai 10 buah lagu ini dan cukup berpuas hati dengan hasilnya. Saya juga turut menghasilkan dua buah lagu dan menulis sendiri hampir kesemua lirik untuk album itu. Ia sangat dekat dengan saya,” ujarnya.
Akim memberitahu dia berharap album ini dapat menyentuh hati para peminat kerana segala usaha telah dicurahkan dalam karya tersebut.
Sementara itu, Akim terkejut apabila syarikat rakaman Sony Music Indonesia turut berminat untuk memasarkan album tersebut di negara itu.
“Siapa yang tidak mahu melebarkan sayap ke negara seberang tetapi jika belum rezeki, tiada apa perlu disesalkan kerana saya boleh menumpukan aktiviti sepenuhnya di negara sendiri,” katanya.
Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Menunggu, Daya Cinta, Mesti Ada Cinta, Tentang Dia dan Yang Nyata. via Mstar Online.