in ,

Gambar Sekitar Majlis Pelancaran Drama BONG

BERGELAK KETAWA BERSAMA BONG MUSIM 6     

     

April ini genap tiga tahun usia TV9. Semakin mendapat tempat di hati penonton dengan tagline baru TV9 Di Hatiku, TV9 kini tampil dengan pelbagai susunan rancangan menarik dan lebih ceria. Masih meletakkan penonton sebagai pendorong utama dalam menyiarkan pilihan rancangan menarik, TV9 juga sentiasa mementingkan kualiti rancangan-rancangan yang disiarkan.

Seperti sedia maklum, kelangsungan rancangan-rancangan menarik di TV9 merupakan salah satu kekuatan stesen ini dan antaranya adalah Bong. Drama bersiri Bong yang mendapat sambutan hangat di kalangan penonton akan diteruskan dengan siri keenam dan memperlihatkan gelagat Bong menjaga empat orang anak buahnya yang mempunyai perwatakan yang berbeza namun masih tetap menerapkan elemen harmoni kekeluargaan, kasih sayang, percintaan dan kelucuan. Ciri-ciri inilah yang melengkapkan rencah drama bersiri ini.

Bong musim keenam ini ditaja oleh Whiskas. Penajaan ini amat bersesuaian dengan drama ini kerana pada musim ini penonton dapat melihat gelagat Aisha yang memelihara seekor kucing comel. Manakala dalam satu episod Aisha memanggil Kucing itu Bong kerana kerinduannya terhadap Bong yang jauh di kampung. Kerinduan Aisha dan adik-beradiknya terubat dengan kehadiran kucing tersebut. 

Rancangan Bong dilihat berupaya mengekalkan reputasi yang baik dimana ianya berjaya meraih sehingga 800,000 penonton pada musim sebelumnya. Membariskan pelakon mantap dan comel, Bong 6 akan memulakan episod pertama pada 18 Mei 2009. Episod pertama Bong 6 ini bermula dengan Bong, lakonan Mohd Khairul Ikhwan yang mula bekerja di syarikat kepunyaan Dato’ Sabaruddin yang juga merupakan majikan kepada abangnya, Long lakonan Mustapha Kamal dan Seri lakonan Jasmin Hamid.

Walaupun telah bekerja, namun Bong masih menjaga keempat-empat anak buahnya Maria, Johan, Aiman dan Aisya. Berjayakah Bong membahagikan masa sebaik mungkin dengan kerjaya barunya? Bagaimanakah pula hubungan Bong dan Nisa? Adakah mereka akan bersatu semula atau sebaliknya?  

Musim terbaru ini menyaksikan lebih banyak konflik dan gelagat lucu berlaku dalam keluarga Long seiring dengan kematangan semua watak dalam mengharungi hidup ke arah kedewasaan. Perubahan demi perubahan dapat dilihat dalam siri Bong musim 6 ini untuk tampil lebih mantap. Lebih menarik, penonton yang mengikuti siri ini sejak dulu, berpeluang melihat pelakon-pelakon cilik dalam Bong membesar bersama watak yang dibawa.

Antara barisan pelakon yang sentiasa menggamatkan keluarga Bong ini adalah Mustapha Kamal (Long), Jasmin Hamid (Kak Seri), Nurul Aqilah Faiqah (Maria), Maisaraa Syahfiedzrien (Aisha), Faizul (Johan), dan Syahir (Aiman).

Khairul Ikhwan sebagai BONG

2009 menjanjikan pelbagai hidangan yang pasti membuatkan seisi keluarga terhibur dan meluangkan lebih masa bersama-sama keluarga dan teman-teman. Usaha TV9 dalam mensasarkan kategori kanak-kanak, remaja, belia dan pasangan baru berkahwin akan tercapai memandangkan rancangan yang diketengahkan ini amat santai dan relaks untuk tontonan semua.

Bong 6 diterajui oleh Hafiez Othman sebagai pengarah manakala penerbit adalah Aziz M. Osman dan Nor Aliah Lee. Justeru, jangan lupa temu janji anda bersama TV9 setiap hari Isnin jam 9.35 untuk mengikuti kerenah dan gelagat Bong serta anak-anak buahnya yang riuh rendah dengan pelbagai gelagat.

Selamat Menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ujibakat Deko Idaman Program Ubah Suai Kediaman di TV3

Nor Khiriah, Rozie Othman, Bell Ngasri, Jaafar Onn Dalam Drama CHEF JO