Selepas anaknya berusia dua bulan setengah, aktres Nora Danish Hanif, 27, hari ini secara rasminya bersedia perkenalkan anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram kepada khalayak. [sumber]
Bekas suami Nora, Toh Muda Rizal Ashram Ramli memangku Rayqal.
Bekas ibu mertua Nora, Raja Puan Sri Noorashikin memotong sedikit rambut Rayqal sambil diperhatikan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib (kiri) dan Nora (kanan).
Nora akui memang dia merancang untuk perkenalkan Rayqal kepada orang ramai di majlis aqiqah, naik buaian dan cukur jambul anaknya yang berlangsung di rumah bekas mertuanya, di Ampang di sini pagi tadi.
“Saya fikir lebih mudah untuk perkenalkan Rayqal pada masa sekarang kerana dia sudah tidak meragam apabila sudah besar,” kata Nora yang juga bersedia merakamkan gambar bersama Rayqal jika dipanggil untuk sesi fotografi.
Bercerita tentang majlis tersebut, ia bermula dengan upacara marhaban, berendoi dan diikuti majlis cukur jambul mengikut adat dan budaya Melayu. Semasa beberapa orang memotong sedikit rambut Rayqal, dia tidak menangis dan diam sahaja. Kiranya, saya bersyukur kerana majlis ini berjalan dengan lancar. Walaupun sederhana tetapi ia tetap meriah ditambah dengan kehadiran semua tetamu,” luahnya yang berdarah kacukan Melayu dan Myanmar.
Jelas Nora, setelah bercerai, kehidupannya lebih bermakna dengan adanya cahaya mata malah hubungannya dengan bekas suami dan mertua tidak pernah putus.
“Sekarang, saya selalu berulang-alik ke rumah bekas mertua dan kami berpakat menjaga Rayqal bersama-sama. Ikutkan saya dengan bekas suami memang tiada ikatan apa-apa, tetapi saya tetap rapat dengan bekas mertua. Jadi, saya terus bersetuju apabila mereka berniat hendak melakukan majlis ini. Lagipun Rayqal merupakan cucu dan cicit pertama dalam keluarga ini,” tutur Nora dengan wajah yang tenang.
Pelakon utama drama bersiri Puteri ini juga tidak kisah seandainya Rayqal selalu datang ke rumah bekas mertuanya sekurang-kurangnya Rayqal mendapat lebih kasih sayang daripada mereka semua. Majlis tersebut bermula pada pukul 10 pagi tadi dengan dihadiri oleh 150 tetamu termasuk keluarga bekas suami, Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 39 dan keluarganya.
Antara tetamu yang hadir adalah rakan artis seperti pelakon Lisa Surihani dan adik pelakon Umie Aida dan pengarah Erma Fatima, Betty. Rayqal dilahirkan pada 7 Januari lalu di Hospital Gleneagles, Ampang.
Nora dan Rizal disahkan bercerai pada 12 Ogos 2008 selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami pelakon sitkom komedi Puteri, Nora Danish pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua ketika Nora sedang mengandung empat bulan.
Nora dan Rizal bernikah pada Jun 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.