Persembahan selama 2 jam terasa seperti 5 minit bagi peminat Ratu Rock Ella. Ya, ramai bersetuju dengan Budiey. Sebanyak 23 lagu telah diperdengarkan di Prebiu Konsert Ella di Istana Budaya pada 30 Jun lalu dengan penyampaian bersahaja. Gaya Ella yang semua orang tahu dia memang begitu kalau di pentas. Ligat, manja, memainkan rambutnya yang panjang mengurai. Vokalnya seperti dulu juga. Tak banyak berubah meskipun usianya semakin mengirai senja.
Meski pun begitu, showmanshipnya boleh dikatakan masih punya energi aura rock Ella yang sangat matang walaupun pada sesi full rehearsal itu, beberapa kali Ella tersilap masuk lagu.
Nyanyian serak-serak basah Ella diiringi 40 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi serta kumpulannya, Ella Love Beggars, dengan arahan muzik Eddie Marzuki.
Konsert yang membuka gerbang KL Festival 2010 yang berlangsung selama sebulan ini menjadi medan untuk Ella bangkit semula selepas 25 tahun terlibat dalam dunia seni. Dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Canon serta Istana Budaya, konsert ini mengundang Ella menyampaikan lagu-lagu popular yang penuh nostalgia dan beberapa lagu barunya.
Tiga penyanyi undangan dijemput untuk menyemarakkan lagi pentas Lambang Sari ialah Datuk Ahmad Jais yang berduet dengan Ella menerusi lagu Budi Setahun Segunung Intan. Ella berduet dengan Awie untuk lagu Baldu Biru dan Dua Insan Bercinta. Turut digegarkan dengan petika gitar berbisa dari Joe Wings menerusi lagu Bad Hair Day.
Lagu baru Ella seperti Mana Menghilang dan Kita tak kurang memberi aura dan rasa tersendiri. Lagu Mana Menghilang dirakam secara duet bersama Awie yang akan dimuatkan dalam album terbaru Ella yang akan berada di pasaran pada bulan Ogos ini. Lagu Kita yang ditujukan khas buat ayahandanya begitu menyentuh rasa, apatah lagi beberapa foto kenangan Ella bersama keluarganya dipaparkan di scrin besar.
Beberapa gambar aksi Ella di konsertnya di Lambang Sari, Istana Budaya.