Semalam, (6 Mac 2009), jam 2 petang telah berlangsung Prebiu Media untuk filem Sayang You Can Dance di Golden Screen Cinemas, Mid Valley. Dihadiri oleh bintang-bintang utama seperti Samuel Rizal, Sharifah Amani, Dafi, Ebi Kornelis, Carmen Soo, Smyth Wong, Alam Juara So You Think You Can Dance dan Dominique Chiu.
Untuk remaja-remaja yang meminati bintang pujaan mereka, pasti akan melekat di kerusi panggung. Sementelah lagi, ini adalah filem pertama untuk Dafi, Ebi dan Alam yang mana bakat ketiga-tiga mereka dicungkil dari program realiti TV. Dalam filem ini, penonton pastinya seronok untuk melihat bintang mereka menari. Sebulan berlatih menari dan sebulan lagi menjalani sesi pengambaran, dengan menempuh perjalanan sukar dan mencabar, hasil filem ini dilihat sebagai ‘ada yang tak kena’ walaupun menggunakan khidmat pelakon ternama dari Indonesia Samuel Rizal dan Sharifah Amani.
Terutama dari segi skrip yang digarap oleh Meor Shariman dan Bjarne Wong harus lebih tajam dengan mesej, tidak terlalu lembab serta kalau boleh, biarlah lari dari kebiasaan. Budiey kira, idea, plot penceritaan serta skrip yang klise antara isu utama setiap kali filem Melayu kita keluar menjengah penonton di pawagam. Kalau skrip tidak natural ala-ala skrip drama, maka akan memberi kesan kepada penglafazan skrip dari para pelakon. Namun, ada yang nampak tidak natural dan spontan. Seterusnya, menjadikan para pelakon tampil agak keras di layar mungkin akan buat penonton akan mengantuk.
Namun, Budiey rasa tidak semua para pelakon yang ‘kaku’. Lakonan Sharifah Amani, Dafi dan Samuel Rizal tidak mengecewakan! Lakonan mereka superb! Berbaloi korang berlatih sebulan untuk lakonan, tarian dan aksi stunt.
Ramai media yang datang mengeluh sakan ketika menonton. Skrip ini perlu dimantapkan lagi dengan komedi agar tidak membosankan. Namun, percubaan pengarah Bjarne Wong boleh diberi pujian dengan hasil gabungan sinematografi yang cantik sedap mata memandang oleh Canty Chau serta mutu bunyi yang mantap dari Ajai dan Eddie. Penggunaan warna terang dan lembut memang sesuai dan pasti akan menjadikan satu tarikan kepada remaja.
Jangan terkejut, dalam filem ini ada adegan-adegan romantis yang sangat daring berputik dari dunia percintaan Mia dan Remie.
Filem berkonsepkan romantis-muzik-tari ini pastinya akan ditunggu-tunggu oleh semua kerana ianya begitu menghiburkan dengan lagu-lagu hasil garapan Ajai bersama nyanyian Marsha Londoh. Best!
Kepada fanatik bintang-bintang ternama dalam Sayang You Can Dance, inilah masanya untuk menonton bintang kesayangan anda berdansa!
Budiey: Wah… Sharifah Amani kata, ada orang Mexico kenal dia. Yelah, apa tak kenalnya… filem lakonan Sharifah Amani selalu sahaja ditayang di festival kat luar negara.
Oklah, selepas filem ini, filem Jin Hutan akan masuk pawagam. Menyusul selepas itu filem arahan Yasmin Ahmad… TALENTIME! Mesti best nih!
Sharifah Amani sebagai Mia dan Samuel Rizal sebagai Remie
Cinta dua darjat dalam Sayang You Can Dance