Selepas Natasha Hudson yang berjaya mencuri perhatian dengan kemunculan pertama kalinya dengan fesyen turban ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 April lalu, pelakon jelita Rozita Che Wan turut memberi impak serupa.
Dengan menggayakan kurung sendat rekaan Qudyn, Rozita Che Wan tampil berseri dengan hiasan turban di kepala yang menggunakan warna sedondon tetapi miliki sentuhan jingga sekali gus membuatkan ramai mata memandang.
Malah persalinan yang sarat dengan perincian itu turut memilih hiasan manik daripada warna serupa dan juga jingga sebagai sentuhan tersendiri daripada pereka fesyen yang menjadi pilihannya sejak sekian lama.
Ditemui ketika majlis berbuka puasa dan tayangan rancangan Aidilfitri Astro di Hotel Royale Bintang Damansara, baru-baru ini, Rozita Che Wan berkata dia akan sentiasa menutup aurat kepalanya sepanjang Ramadhan ini sebagai menghormati bulan keberkatan itu.
Malah, dia turut tampi bergaya dengan tas tangan Prada bersaiz sederhana yang turut hadir dengan warna serupa dengan persalinan dan turban dikepala.
“Alhamdulillah, seperti tahun sebelumnya, inilah gaya saya sepanjang bulan Ramadhan. InsyaAllah, manalah tahu saya akan kekal dengan gaya seperti ini walaupun selepas Hari Raya nanti,” katanya merendah diri.
Tidak sendirian, Rozita Che Wan telah ditemani pelakon kacak berwajah Mat Salleh, Zain Saidin yang tidak ketinggalan menggayakan baju Melayu bewarna jingga sekali gus menjadikan kehadirannya pada majlis berkenaan lengkap. via Murai