Liputan Eksklusif Perkahwinan Farid Kamil dan Diana Danielle di Astro Ria!
Percintaan yang sentiasa mendapat perhatian bakal dijunjung ke kemuncaknya dengan majlis perkahwinan yang berprestij. Setelah lebih empat tahun mengenali hati budi masing-masing, pasangan selebriti terkenal Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya mengambil langkah untuk memeterai ikatan suci murni yang sah di hari bahagia mereka.
Bersempena dengan majlis perkahwinan yang dinanti-nantikan ini, pihak Astro dengan berbesar hati membawakan sebuah liputan eksklusif perjalanan percintaan pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle yang akan bersiaran pada Sabtu, 3 November 2012, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (saluran 104) dan di Astro On-The-Go. Siaran selama 30 minit ini bakal memaparkan persediaan saat-saat akhir menjelang majlis pernikahan Farid dan Diana dan paparan eksklusif sebelum dan selepas lafaz akad nikah.
Pengurus Saluran Astro Ria, Encik Raqim Ahmad Ramli berkata, “Ikatan percintaan dan perkahwinan selebriti Malaysia sememangnya mencuri perhatian pelbagai pihak, justeru Pihak Astro khususnya Astro Ria tidak melepaskan peluang untuk membawa penonton turut serta berkongsi kebahagiaan pasangan Farid dan Diana dalam sebuah rancangan khas meraikan percintaan mereka.
Terdahulu pihak Astro Ria pernah menyiarkan liputan eksklusif perkahwinan beberapa selebriti popular tanahair seperti ‘Mawi & Ekin: Walimatul Urus’, ‘Walimatulurus Yusry & Lisa Surihani’ serta ‘Seia Sekata Schawal’. Jadi pada kali ini, rancangan eksklusif perkahwinan Farid dan Diana pula dibawakan istimewa untuk para penonton ekoran sambutan yang menggalakkan pada siaran rancangan khas yang lalu.
Sekali lagi, Astro Ria membawakan perjalanan kisah cinta pasangan muda yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman untuk dikongsikan kepada penonton. Liputan ini pasti memukau dengan huraian rahsia perjalanan mereka sepanjang melayari gerbang percintaan daripada kenalan serta ahli keluarga terdekat.
Para peminat pasti ingin mengetahui secara lebih dekat tentang spekulasi berkaitan majlis yang hangat diperkatakan ini, termasuklah persoalan mengenai jemputan hinggalah pereka busana perkahwinan. Ramai juga yang pasti bertanya bagaimanakah mereka berkenalan? Bagaimanakah Farid melamar Diana untuk dijadikan isterinya? Semuanya bakal dirungkai di episod pertama liputan eksklusif ini.
Pada episod pertama itu nanti, penonton akan dibawa meneliti profil pengantin lelaki dan perempuan, kisah cinta mereka daripada kaca mata mereka dan juga kenalan serta ahli keluarga, persiapan perkahwinan dan sedikit sedutan upacara akad nikah.
Jangan lepaskan peluang untuk berkongsi kebahagiaan kisah cinta Farid Kamil dan Diana Danielle bersama Astro Ria melalui liputan eksklusif perkahwinan pasangan ini pada hari Sabtu, 3 November 2012, jam 9.00 malam. Nantikan juga dua lagi episod dokumentari istimewa pada Disember ini, dibawakan khas untuk penonton Astro Ria (Saluran 104)!