Hari Sabtu lalu, tanggal 15 Februari lalu, Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan telah berjaya menghiburkan lebih 10,000 orang peminat di Konsert Temptation Reloaded yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Walaupun cedera di bahu kanan dan lutut kiri semasa insiden di pengambaran filem Happy New Year, SRK tetap gagahkan diri menghiburkan peminatnya dengan persembahan menarik.
Tirai persembahan dibuka oleh kumpulan artis tempatan, Goldkartz diikuti penyanyi rap terkenal di India, Yo-Yo Honey Singh sebagai opening act. Kemudian, selama 15 minit, penonton disajikan dengan persembahan Rani Mukherji yang tampil dengan tarian diiringi oleh penari yang diterbangkan khas dari Bollywood. Lagu Saathiya, Kabhi Kushi Kabhi Gham dan Aiya membuatkan penonton turut sama berjoget.
Madhuri Dixit kemudian muncul dengan tarian persis dalam filem yang pernah kita tonton Aajam, Khalyanak, Aaja Nachle dan Beta. Walaupun mencecah 46 tahun, beliau masih lagi bertenaga.
Ucapan selamat datang dari Shah Rukh Khan telah melenyapkan resah peminat dan semua tersenyum riang apabila janji SRK yang sekian lama telah tertunai. SRK mengatakan bahu dan lututnya masih sakit tapi melihat sokongan peminatnya yang datang, membuatkan beliau bersemangat untuk buat persembahan. Nampak beliau begitu berhati-hati dalam menyusun langkah tarian.
Shah Rukh Khan buat persembahan dengan dilatari lagu terkenal dalam filem Kuch Kuch Hota Hai, Main Hoon Na, Dil Se dan Chennai Express. SRK tak lupa untuk menjemput peminatnya ke pentas untuk sesi ramah mesra, beruntunglah pada peminat yang dapat peluang.
Dikhabarkan, selain Shila Amzah, penyanyi Dato’ Siti Nurhaliza dan suaminya juga turut hadir untuk tengok konsert ini.