Perkara remeh-temeh ibarat gosip murahan yang terkena tempias pada diri bagaimanapun tidak diambil peduli Mila, asalkan famili hidup bahagia dan dapat menikmati lebih kesenangan.
Buktinya, selama setahun lebih, Mila sudah mampu memberi senyuman lebih mekar dan indah buat ibu-bapa dan dua adik perempuannya.
Kata Mila, dia bangga memikul tanggungjawab seberat gunung yang tidak habis ditarah kerana sampai bila-bila sekalipun, dia tidak mampu membalas jasa orang tuanya.
“Saya amat gembira lihat kami lima beranak dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,”
Sambung Mila lagi, kenyataan itu tidak bermakna kehidupan yang dijalani sebelum menginjak kaki di Akademi Fantasia 5 (AF5) dan ‘zaman’ di Pulau Mutiara, tiada langsung menerbit cahaya terang.
Sebaliknya, Mila menonton sendiri perjalanan realiti di depan mata, bahawa banyak perubahan ketara tertulis pada diri dan keluarga.
“Bukan hendak mengungkit kehidupan saya sebelum ini sarat dengan kepayahan, sebaliknya kami macam orang biasa yang hidup serba sederhana. Biasalah, kadangkala ada pasang surut, naik dan turunnya juga, tetapi saya bersyukur setelah keluar AF5, saya dapat memberi apa jua yang diperolehi bersama-sama mereka. Alhamdulillah, dalam tempoh tak sampai dua tahun bergelar artis, saya berupaya mengambil-alih tugas keluarga dan menghulur bantuan mana-mana yang patut.
“Saya tak anggap ia sebagai kesulitan atau membebankan, tapi saya cukup bangga menjadi seorang anak yang mampu kongsi rezeki yang dikurniakan Allah.”