Penyanyi Jaclyn Victor atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Jac menganggap hasratnya untuk menjadi artis KRU Music merupakan satu gandingan ideal yang dapat memberikan kebebasan kepadanya untuk memilih konsep lagu dan idea kreatif berkaitan kerjaya nyanyiannya.
Pada majlis menandatangani kontrak pada jam 3 petang semalam (25 Januari 2012), Jac turut menyampaikan lagu ‘single’ terbaru ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Sebelah Jiwaku yang akan dimuatkan dalam album studio terbarunya yang dijangka akan memuatkan enam buah lagu.
Selama 6 tahun pemilik nama Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ini dah bernaung di bawah payungan label terkemuka Sony Music. Bermula hari ini, Jac secara sah melakar sejarah untuk bernaung di bawah bendera KRU Music di mana Jac akan merakamkan lagu-lagu dengan irama yang lebih segar dan rancak gaya Edry KRU.
Reaksi awal Jac: “Why now? Betul ke ni? Kenapa saya, kenapa sekarang? Kenapa tetiba?”
Tiba masanya, Jac ingin lari dari identiti kepompong irama balada yang begitu sinonim dengan lagu Gemilang. Pendek kata, konsep, imej dan irama lagu baru Jac akan datang ini akan berlainan dengan apa yang Jac hasilkan sebelum ini. Kontrak untuk Jac selama 1 tahun di mana Jac akan merakam sebuah album yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim pada April 2012.
VIDEO Sidang Media Jaclyn Victor Bersama KRU Music
Seperti yang kita tahu, dalam katalog lagu Jac pun memang banyak lagu-lagu balada sebelum ini. Kita tahu gaya dan stail Jac memang portenya lebih kepada balada yang agak melo bernada tinggi. Jadi, sebagai pembuka selera, Edry telah menghasilkan single terbaru berjudul Sebelah Jiwaku yang akan dilancarkan pada bulan Februari depan.
Apa yang boleh Budiey katakan, di KRU Music, pastinya vokal Jac akan dipergunakan sepenuhnya untuk membuka ruang yang lebih luas untuk Jac pergi lebih jauh.
Jaclyn Victor: “Sebelum Malaysian Idol, saya nyanyi macam-macam jenis lagu. Jadi, saya tak fikir porte saya hanya terikat dengan lagu balada. Ini kerana lagu Gemilang, dan ramai yang cakap, tiada lagu lain yang boleh menandingi lagu Gemilang. Tak semestinya lagu Gemilang. Saya berminat untuk join KRU Music sebab sebenarnya, saya memang kagum dengan KRU. Kenal KRU masa saya di zaman sekolah dulu. Legasi KRU, kejayaan KRU yang dianggap satu empayar besar, kenapa tak perlu terima lamaran dari KRU Music sebab diorang kreatif dan ada pengalaman khusus dalam bidang muzik. Saya sangat yakin dan teruja kerana ini memberikan perspektif dan suasana baru. Bersama KRU, saya berpeluang untuk berkongsi idea dan konsep lagu yang saya mahukan. Ia membabitkan perbincangan dan perkongsian idea bersama,”
Adakah ini disebabkan Jac kecewa dengan label Sony Music?
“Masih banyak aspek berkaitan bakat nyanyian saya yang tidak dicungkil sepenuhnya sebelum ini. Bagaimanapun, tempoh enam tahun bersama Sony Music banyak mengajar saya selok-belok bergelar penyanyi profesional dan dunia nyanyian. Sebagai penyanyi yang ingin terus maju, saya perlu mencari peluang baru dan mencanai potensi untuk kekal relevan dengan perkembangan muzik semasa.”
Selain Edry Abdul Halim, Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail juga turut hadir pada majlis sidang media semalam. Budiey ucapkan selamat maju jaya buat Jaclyn Victor di rumah baru ini.
Gambar Jaclyn Victor di Sidang Media KRU Music