PELAKON Uqasha Senrose mengambil tindakan untuk menutup ruangan komen di Instagram miliknya kira-kira pukul 11 malam Ahad selepas dihujani soalan netizen.
Rata-rata netizen mula bertanya kesahihan dakwaan dan foto kononnya milik dia di sebuah balai polis yang tersebar di internet sejak awal malam Ahad.
Segelintir peminat turut meluahkan rasa kecewa jika berita tersebut benar mengaitkan pelakon itu dengan dadah.
Pemerhatian portal mStar Online pada pukul 10 malam Ahad mendapati, kira-kira lebih 1,000 komen mula membanjiri posting di laman sosial miliknya.
Bagaimanapun, sehingga kini aktres berkenaan masih belum memberikan sebarang komen berkaitan perkara berkenaan.
Sebelum ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang pelakon popular ditahan polis selepas ditemui dalam keadaan khayal berserta sejumlah dadah sintetik yang dipercayai jenis Erimin 5 sebanyak 53 biji dalam tas tangan miliknya pada Ahad.
Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dadah yang ditemui dianggarkan bernilai RM660 selain ujian saringan awal air kencing terhadap aktres itu juga didapati negatif.
Tambah Mazlan, kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.
Sumber polis berkata, artis itu yang berasal dari Kelantan dipercayai melanggar kenderaan seorang lelaki Cina di Taman Tun Dr Ismail di sini sebelum lelaki tersebut menghubungi pihak polis kira-kira pukul 11.45 pagi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Sumber: Mstar Online