Dayang Nurfaizah turut mempersembahkan lagu LUKA di Pelancaran Novel Luka.
Kehijauan alam sekitar dan kelibat hidupan liar menjadikan jiwa penyanyi kelahiran Sarawak ini tenang. Lebih menarik, sepanjang tiga hari (bermula 2 Februari lalu) berkampung di kawasan yang diwartakan sebagai hutan tertua di dunia itu, Dayang berpeluang merasai pelbagai pengalaman menarik, termasuk mendekati satu suku kaum Asli yang masih mengamalkan gaya hidup primitif. Jelas Dayang, lokasi ini dipilih bersempena pelantikannya sebagai duta Perlindungan dan Pengekalan Alam Semulajadi oleh Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah milik Emkay Group.
Berkongsi pengalaman itu, Dayang berkata, penggambaran klip video ini jauh berbeza daripada yang pernah dijayakannya apabila menuntutnya banyak bergerak dan melakukan aktiviti lasak. Bahkan sebelum penggambaran bermula, dia terpaksa mencari baju dan kasut sesuai dengan persekitaran hutan tebal.“Luka adalah novel pertama di Malaysia yang disertakan dengan video muzik. Dayang bangga terbabit dengan projek ini kerana bukan saja menggalakkan orang ramai menghargai alam semula jadi, tetapi turut memupuk minat suka membaca.“Penggambaran Luka dilakukan di Belum Rainforest Resort, manakala Loosing Me pula di Hutan Belum Temengor.
Kedua-dua klip video ini diarah oleh Muhaimin Yusof dari CiptaAsia Worldwide Sdn Bhd.“Di Belum Temengor, Dayang berpeluang ke Sungai Enam, Jenut Papan, Kampung Bunga Kejar Hilir, Air Terjun Sungai Ruak dan Tanjung Satu.“Kalau ikutkan, ini kunjungan kedua Dayang ke hutan yang mempunyai keluasan 300,000 hektar ini. Ia bersamaan empat kali ganda keluasan Singapura. Lebih unik, Pulau Banding mempunyai kira-kira 80 pulau. Untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi, kita perlu menaiki bot,” katanya sambil menjelaskan, majlis pelancaran novel berkenaan akan diadakan di Belum Rainforest Resort pada 12 Mac ini.Tambah Dayang, meskipun penat, dia terhibur dengan pemandangan indah dan persekitaran sejuk hutan berkenaan.
Banyak imej menarik berjaya dirakam dan diabadikan dalam dua klip video itu.“Macam-macam insiden lucu berlaku sepanjang penggambaran, antaranya lensa kamera terjatuh ke dalam air terjun. Malah, ramai kru tergelincir kerana batu di kawasan itu berlumut dan licin. Di perkampungan Orang Asli Bunga Kejar pula, Dayang malu apabila diperhatikan ramai penduduk yang masih memakai cawat. Ini kali pertama Dayang menyanyi depan penonton bercawat.
“Bagaimanapun, Dayang terhibur melihat aksi anak kecil yang malu-malu kucing. Wanitanya pula bersembunyi di celah penduduk lelaki dan di sebalik penjuru rumah kerana terlalu malu. Meskipun matahari tegak atas kepala, kawasan itu sejuk dan nyaman,” katanya.Mengulas pelantikannya sebagai duta Perlindungan dan Pengekalan Alam Semulajadi, Dayang berkata, tanggungjawab dipikul kali ini sangat besar, malah ia turut membuka mata serta mindanya terhadap banyak perkara.
“Sebelum ini Dayang kurang peka akan kepentingan pemeliharaan alam semula jadi tetapi apabila berkunjung ke Pulau Banding, Dayang mula sedar dan jatuh cinta dengan hidupan liar.“Kita seharusnya berbangga kerana Malaysia ada hutan paling tua di dunia. Rupa-rupanya Hutan Belum Temengor lebih tua daripada hutan Amazon. Ada banyak hidupan liar di sini, malah sepanjang penggambaran, Dayang berpeluang melihat tapak kaki seladang, tempat mandi gajah, burung kenyalang dan helang serta kesan cakaran beruang di pokok.“Menerusi pelantikan ini Dayang bertanggungjawab menyuntik kesedaran kepada orang ramai, khususnya peminat Dayang dan generasi muda, kepentingan peliharaan alam.
“Jika ada simposium, Dayang akan turut serta. Dayang bergelar duta secara rasmi hari ini dan pelancarannya berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort, Perak,” katanya yang menggalas tanggungjawab itu selama lima tahun.Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Erti Hidup ini bakal muncul dengan album berjudul Dayang 2008 Live yang menghimpunkan lagu dendangannya ketika mengadakan persembahan di Planet Hollywood, Julai lalu. Album ini mengandungi 12 lagu termasuk sebuah lagu baru, Pulang, ciptaan Tris. [sumber]